Berita

Melayu ditindas di Pulau Pinang? Polis digesa siasat ‘hasutan’ Ku Nan

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Satu laporan polis hari ini dibuat terhadap Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta pihak polis menyiasat sama ada wujud unsur menghasut dalam kenyataannya sebelum ini.

Laporan oleh Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Lim Lip Eng dibuat berikutan cadangan menteri tersebut yang mahu supaya Pulau Pinang dimasukkan ke dalam Wilayah Persekutuan untuk ‘membantu’ kaum Melayu yang kononnya ditindas.

Tohmahan jahat mendakwa kononnya kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mempedulikan kaum Melayu itu dibuat ketika Adnan atau lebih dikenali sebagai Kun Nan berucap dalam Majlis Khatam Al-Quran Wilayah Persekutuan 2017 Sabtu lalu seperti dilaporkan media.

Realitinya kata Lip Eng, dakwaan Setiausaha Agung UMNO itu langsung tidak berasas dan meminta kerajaan menjelaskan perkara tersebut.

“Tuduhan Ku Nan itu turut dilaporkan oleh portal rasmi kerajaan, Bernama.

“Jadi saya minta perdana menteri jelaskan kenyataan beliau. Adakah kenyataan Ku Nan itu bersifat peribadi atau mewakili Putrajaya?” katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Dang Wangi sebentar tadi.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh Deo yang turut hadir berkata tuduhan Ku Nan itu amat serius dan boleh menimbulkan kekecohan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Bagaimana seorang menteri seperti Ku Nan boleh buat kenyataan seperti itu? Tuduhan Ku Nan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak pedulikan orang Melayu amat dangkal dan tidak berasas.

“Beliau cuba merendah-rendahkan kredibiliti kerajaan negeri dengan kenyataan seumpama itu.

“Jadi, kita harap pihak polis akan menyiasat kenyataannya tanpa sebarang rasa takut atau kepentingan,” jelasnya. – Roketkini.com