Berita

Rumah mampu milik: Kerajaan Pakatan P. Pinang sudah bina empat kali ganda berbanding era BN

GEORGE TOWN, 6 FEB: Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang sekali lagi membuktikan kredibilitinya sebagai kerajaan yang mengutamakan rakyat apabila berjaya membina sebanyak 20,887 unit rumah mampu milik sejak 2008.

Malah, jumlah itu terus meningkat apabila sebanyak 65,796 unit lagi akan dibina dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, jelas Exco Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo.

Sebaliknya, tidak ada satu unit rumah mampu milik pun dibina di bawah skim perumahan kerajaan Persekutuan, PR1MA dan PPA1M di Pulau Pinang walaupun ia dijanjikan berulang kali oleh BN sejak 2013.

“Kerajaan Pakatan terbukti sediakan perumahan mampu milik, ini menjelaskan semuanya,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Adun Dato Keramat itu, jumlah unit rumah mampu milik yang dibina kerajaan negeri saat ini jauh lebih banyak berbanding di bawah pemerintahan BN sebelum ini (2000-2007) yang hanya membina sebanyak 5,124 unit.

Beliau turut menyindir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang dianggap sebagai ‘tersalah langkah’ apabila menjadikan isu rumah mampu milik di Pulau Pinang sebagai modal mewajarkan negeri itu ditukar kepada Wilayah Persekutuan.

Malah, beliau menegaskan tuduhan Ku Nan bahawa orang Melayu ‘terabai’ di Pulau Pinang juga amat mengarut dan tidak berasas kerana hampir separuh daripada unit tersebut diperuntukkan kepada kaum Melayu.

Berdasarkan statistik terkini, seramai 5,686 Melayu, 3,029 Cina, 872 India dan 36 yang lain-lain menduduki rumah kos rendah di negeri itu manakala 2,188 Melayu, 3,498 Cina, 550 India dan 30 yang lain-lain pula bagi rumah kos sederhana rendah. – Roketkini.com