Berita

Selesai isu dokumen pengenalan diri secara menyeluruh, bukan pilih kasih

IPOH, 6 FEB: Usaha bagi menyelesaikan masalah mendapatkan dokumen pengenalan diri dan taraf warganegara seharusnya tidak tertumpu kepada sesuatu kaum di negeri tertentu sahaja.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran berkata, ini kerana masalah yang timbul sejak puluhan tahun itu harus dipandang sebagai isu negara yang melibatkan pelbagai kaum.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa pasukan petugas khas dari Jabatan Pendaftaran Negara akan ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah tersebut melibatkan kaum Cina di Sarawak.

“Bukankah masalah tidak ada pengenalan diri ini adalah isu negara yang mana turut terkesan oleh kaum Cina di Semenanjung Malaysia?

“Malah, bukankah masalah yang sama dihadapi oleh kaum India juga satu isu yang harus ditangani dan diselesaikan dengan segera?” soal Kula dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Naib Pengerusi DAP kebangsaan itu turut mempersoalkan keberkesanan program berkenaan memandangkan janji yang sama disuarakan UMNO-Barisan Nasional terhadap kaum India yang menghadapi masalah yang sama sebelum ini sehingga kini masih tidak diselesaikan.

“7 Ogos tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjanji akan berusaha untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan yang dihadapi masyarakat India yang lahir sebelum kemerdekaan negara.

“Tapi sehingga kini berapa kes yang telah diselesaikan? Malah, bulan lalu sahaja Zahid secara umum membuat kenyataan sombong dan tidak sensitif bahawa tidak ada fleksibiliti untuk mereka memohon kerakyatan,” ujarnya.

Justeru, katanya, bagi memecah kebuntuan tersebut, kerajaan dicadang melakukan gerak kerja bersama pihak Hak Asasi Manusia Amnesty Antarabangsa bagi menyelesaikan isu tersebut.

“Namun persoalannya adakah kerajaan UMNO-BN mempunyai kemahuan politik untuk menyelesaikannya,” soalnya. – Roketkini.com