Berita

Warga Felda mulai bangkit, tidak hirau ‘dedak dan ugutan’ Umno

JENGKA, 6 FEB: Kehadiran ribuan warga Felda Jengka 8 ke program Jelajah Semarak Kasih Felda baru-baru ini membuktikan warga Felda tidak gentar dengan ‘ugutan’ yang sering mereka hadapi selama ini.

Malah, mereka terus memenuhi ceramah anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu walaupun sebuah persatuan pro-UMNO turut mengadakan program menawarkan pelbagai hadiah lumayan hanya beberapa ratus meter dari tapak ceramah.

Dalam majlis itu, ia menyaksikan pelancaran Kempen Bantahan pembelian Ladang Pt Eagle High Plantation oleh Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Selain Mukhriz, pemimpin utama yang hadir ialah Pengerusi ANAK, Mazlan Aliman; Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abd Rahman, Pengerusi Amanah Pahang, Dr Hamzah Jaafar, Datuk Zaid Ibrahim, Pengerusi Biro Felda DAP, Datuk Mohd Ariff Sabri dan ramai lagi.

Menurut Ariff Sabri, kehadiran warga Felda yang memberangsangkan itu merupakan petanda mereka semakin berani menyatakan pendirian terhadap segala masalah yang melanda urus tadbir Felda dan negara.

“Selama ini peneroka dan warga Felda diugut dan diancam dengan pelbagai peraturan. Buang dari rancanganlah, susah anak nak dapat bantuanlah. Orang Melayu ugut orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Ahli Parlimen Raub itu menjelaskan para peneroka juga tidak perlu gusar jika pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan datang kerana semua tanah rancangan tetap akan dipelihara.

“Yang takut berlakunya perubahan kerajaan ialah orang yang ada kepentingan.

“Yang takut kerajaan baru ialah golongan berkepentingan yang menjadikan Felda sebagai sumber mencuri wang. Mereka yang korup dan menggunakan kedudukan dan jawatan mengaut duit Felda, merekalah yang takut,” katanya. – Roketkini.com