Berita

Kalau benar anti-Islam, sudah lama DAP diharamkan bawah Akta Pertubuhan Persatuan

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Jika benar DAP anti-Islam, mengapa parti itu dapat bergerak dan menjalankan aktivitinya secara sah mengikut undang-undang sejak didaftarkan pada tahun 1966?

Sedangkan, sebuah persatuan yang anti-Islam tentu sekali akan dibatalkan pendaftarannya kerana mengancam semangat yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Demikian hujah yang dinyatakan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali bagi membidas tohmahan jahat selama ini yang tidak henti-henti menuduh DAP sebagai sebuah parti anti-Islam.

Terbaru, Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusof turut menuduh DAP dengan fitnah berkenaan. Kenyataan beliau dikongsi di laman Facebook Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh.

“Tuduhan DAP anti-Islam bukan baru dalam politik Malaysia. Bezanya, satu ketika dahulu ia zikir yang diratib UMNO BN dalam berdepan seteru politiknya demi mengekalkan kuasa.

“Hari ini, sejak PAS semakin intim dengan UMNO, PAS turut main peranan yang sama,” ujar Sheikh Omar dalam satu kenyataan kepada Roketkini, sambil menambah beliau kesal dengan tindakan sesetengah pemimpin parti itu yang bersikap membuta-tuli memerangi DAP.

Beliau turut mengingatkan Dr. Kamarul Zaman bahawa DAP merupakan parti politik yang sah dan telah lulus didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan Persatuan sejak 51 tahun lalu.

“Jika Dr Kamarul Zaman Yusuf ‘anak jantan’ dalam menuduh DAP anti-Islam, saya cabar beliau agar ambil tindakan undang-undang untuk membatalkan pendaftaran DAP kerana ia bercanggahan dan mengancam semangat yang digariskan Perlembagaan.

“Jika tidak, saya anggap beliau amat naif sekali dan tidak lebih sekadar terikut-ikut skrip dilakarkan oleh UMNO BN dalam muslihat menutup segala skandal serta salah laku kepimpinan mereka semata-mata,” tegasnya. – Roketkini.com