Saya adalah keturunan pekerja imigran.
Moyang saya 6 generasi lalu melarikan diri daripada keadaan ekonomi dan sosial yang mustahil kesan domino daripada perang candu, monopoli perdagangan oleh kelas elit, kehancuran pekerjaan dan pasaran perniagaan kecil di China, lalu berhijrah ke Asia Tenggara untuk mencari masa hadapan yang baharu.
Keadaan-keadaan ini berlaku angkara tindakan penjajah, sama ada secara ketenteraan atau ekonomi. Datuk kepada moyang saya sendiri adalah seorang imigran yang mempertaruhkan nyawanya untuk mengelak tirani dan mencari masa hadapan yang baharu.
Justeru, kita mesti lihat persamaan antara kisah moyang-moyang saya (dan ramai moyang rakyat Malaysia yang lain) dan sekatan imigresen oleh Presiden Trump ke atas Muslim. Ia juga telah memburukkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia berbilang bangsa.
Saya faham amarah yang berdekad lamanya angkara tirani budaya dan sejarah oleh UMNO (yang didokong oleh MCA dan MIC sejak Perikatan 1955-1973, yang berkesinambungan melalui Barisan Nasional sehingga ke hari ini). Diskriminasi berinstitusi yang dialami oleh yang bukan Muslim termasuk orang-orang Asal di Sabah, Sarawak dan Semenanjung adalah nyata.
Untuk mempercayai dan selesa dengan manusia seperti Trump yang memperalat politik identiti melalui naratif ‘Muslim melawan non-Muslim’ adalah rasis dan taksub. Kejahatan tetap jahat, apatah lagi dia menggoda anda melalui kepahitan anda dan mengadu domba amarah anda.
Melakukan kesalahan atas kesalahan lain tidak menghasilkan sebuah kebenaran.
Kepada mereka yang keturunan imigran yang mahu lari daripada tirani, sudahkah kita lupa asal usul kita?
Adalah salah untuk anak cucu keturunan imigran untuk menyokong sekatan rambang ke atas negara-negara berpilih.
Adalah benar untuk teguh bersolidariti dengan setiap umat manusia – tanpa mengira bangsa, agama, mahupun fahaman politik – lagi-lagi apabila mereka dinafikan hak asasi mereka, dizalimi dan didiskrimasi.
Kata-kata azimat Dr Martin Luther King Jr, “Suatu kezaliman adalah ancaman kepada keadilan di mana-mana.”
*Penulis adalah Presiden Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa, Setiausaha Antarabangsa Sosialis Muda DAP dan ADUN Pasir Pinji.