Wawancara

Zaid Ibrahim: Dari UMNO, PKR, KITA akhirnya DAP

Umum jarang peduli dengan kemasukan orang biasa-biasa ke dalam parti politik. Apatah lagi DAP. Bila peniaga gerai, buruh kasar, anak muda main gitar tepi sawah isi borang DAP; tidak ada sesiapa peduli pun mahu bertanya ‘Apa yang awak boleh sumbang kepada DAP?’ Kita pakat-pakat faham bahawa kemasukan itu sekadar untuk menyatakan sokongan. Tiada rencana panjang mahu memperoleh pengaruh dan kuasa.

Justeru tidak hairan apabila sosok seperti Datuk Zaid Ibrahim hari ini menghantar permohonannya untuk ikut bergabung dengan DAP, habis semuanya resah dan gelisah tentang apa tujuan sebenar bagi Zaid untuk menyertai parti tesebut.

Zaid sudah bertukar parti politik dari UMNO, ke Parti Keadilan Rakyat, kemudian meninggalkan parti itu untuk menubuhkan partinya sendiri yang dinamakan KITA, dan kemudian kini beralih menuju DAP. Lebih hairan lagi, beliau memilih DAP, ketimbang parti baru Tun Mahathir.

Sebagai mukadimah sembang-sembang kami sehari sebelum Zaid mengumumkan masuk DAP, beliau menegaskan bahawa beliau tidak meninggalkan UMNO.

“Itu jauh berbeza. Saya dipecat dari UMNO, disebabkan pendirian saya tentang ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Saya tidak keluar dari UMNO”

“Tapi ya, saya meninggalkan PKR,” ujarnya, sambil menambah bahawa hubungan beliau dengan Datuk Seri Anwar dan rakan-rakan parti tersebut masih baik seperti biasa.

Bagi beliau, menyertai DAP ertinya menyumbang kepada koalisi besar pembangkang dalam Pakatan Harapan menjelang Pilihanraya Umum ke-14 yang bakal tiba tidak berapa lama saja lagi.

“Saya pasti akan bercakap dengan orang Melayu bahawa DAP ialah sebuah parti yang bagus.

“Ia sebuah parti yang moden dan progresif. Saya akan pasti cuba untuk memujuk sokongan orang Melayu terhadap DAP. Mungkin sebahagian akan ikut menyertai parti,” katanya sambil menyaksikan persiapan untuk sidang media khasnya.

Sidang media yang sepatutnya berlangsung di sebuah kelab, akhirnya terpaksa dipindah ke kediaman beliau sekeluarga pada saat akhir. Zaid mengandaikan terdapat campur tangan UMNO dalam perpindahan tergesa-gesa itu lantaran ketakutan parti tersebut terhadap peningkatan sokongan Melayu kepada DAP.

“DAP sentiasa konsisten melawan rasuah, dan itu sangat bagus,” tambahnya.

“Negara kita sedang berhadapan masalah rasuah. DAP lebih terkedepan dan sentiasa konsisten dalam penentangannya terhadap rasuah dan salah guna kuasa.”

Selama meninggalkan PKR dan kemudian menubuhkan parti sendiri, Zaid sentiasa diperlihatkan sebagai ahli politik yang tidak serius dan banyak main-main. Persepsi negatif itu dilanjutkan oleh UMNO dalam rangka membingkaikan Zaid sebagai watak jahat yang bertentangan dengan parti itu dan agendanya.

“Tetapi saya memang ahli politik yang serius. Saya bukan macam Tunku Aziz. Saya tidak memburukkan parti yang saya tinggalkan. Itu beza antara saya dengan Tunku Aziz.

“Sepatutnya orang menilai saya berasaskan prinsip yang saya pegang. Lihat kepada pendirian dan kepercayaan saya, bukan kerana saya meninggalkan PKR.”

Bagi beliau, tindakannya meninggalkan parti itu adalah perkara lampau, dan tidak ada masalah peribadi antara beliau dan pimpinan.

“Saya bertanding, tetapi tidak bermakna dia musuh saya,” katanya merujuk kepada Datuk Seri Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR yang pernah ditentangnya dalam pemilihan parti tersebut pada tahun 2010.

Baginya juga, kedudukan dan jawatan bukanlah perkara utama.

“Siapa yang meletakkan jawatan sebagai menteri dalam negara ini atas sebab prinsip? Hanya saya sahaja dalam sejarah negara ini. Jadi apa lagi yang mesti saya buktikan?”

Bagi beliau, propaganda UMNO telah berlanjutan untuk satu tempoh masa yang sangat panjang, dan ia memberi kesan kepada mentaliti politik orang Melayu. Mentaliti tersebut harus ditentang dengan berkomunikasi dengan mereka yang telah membina persepsi masing-masing tanpa sebarang asas.

“Kadang-kadang mereka mempunyai pendirian tentang satu-satu hal, tanpa tahu sebabnya atau kerana mereka sekadar diberitahu begitu.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk bercakap dengan mereka, terutamanya untuk meyakinkan orang Melayu,” kata beliau, yang telah meninggalkan kerjaya guaman tujuh tahun lalu.

Bagi beliau yang kini beusia 65 tahun, parti masa depan untuk Malaysia ialah parti yang jujur dan bersih, pentadbirannya bertanggungjawab dan adil kepada semua. Ini prinsip asas urus tadbir yang baik.

“Apa yang dimainkan sekarang ialah politik ketakutan, dan atas sebab itu, kita mesti turun dan memujuk hati orang ramai.”

“Bukan baru sekarang saya mula untuk memujuk ketakutan orang Melayu (terhadap kaum dan agama), bukan hanya sebab saya masuk DAP.

“Saya sudah sebut benda ini selama bertahun-tahun. Politik ketakutan langsung tidak membantu orang Melayu,” tegasnya.

Baginya kedua-dua PAS dan UMNO, yang kini nampak bahagia bersama, sedang menggunakan idea-idea lapuk. PAS menggunakan tafsiran agamanya sendiri, untuk memupuk ketakutan.

“Mereka tidak ada perancangan ekonomi atau pendidikan. Mereka tidak peduli tentang kebajikan masyarakat. Parti yang semacam itu tidak berguna kepada orang ramai. Ia tidak akan membantu orang Melayu dalam jangka masa panjang.

“UMNO juga sama tak guna kerana amalan politik wang dan salahguna kuasa.

“Mereka mengaku pembela bangsa Melayu, tetapi bagaimana mahu membela bangsa jika merompak harta mereka?” soalnya tegas.

Kedua-dua parti katanya akan menjadi tidak relevan dalam beberapa masa lagi, dan menjadi tugasnya untuk menjelaskan pandangan dan pendapat alternatif bagi politik orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Namun menurut Zaid, keadaan politik parti-parti pembangkang kini sedikit serabut, ekoran kegigihan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk cuba mendekati PAS. Pun begitu beliau percaya bahawa Tun Mahathir mempunyai pendapat yang lebih kuat bahawa kita tidak boleh lagi mempercayai PAS, malah PAS sendiri pun tidak mahu kepada Tun M.

“Adalah lebih baik untuk kita mengetahui siapa sebenarnya kawan dan lawan dan mencari platform sepunya. Dengan PAS, kita akan mendapat masalah.”

Melihat kepada kedudukan parti baru Mahathir yang kian mengisi vakum kepimpinan Melayu, Zaid merasakan kemasukan beliau ke dalam DAP akan tambah memperkuatkan pengaruh politik pembangkang terhadap pengundi Melayu yang kian menolak UMNO.

“Saya boleh bekerjasama dengan para progresif dalam Bersatu dan Amanah, dan bersama-sama kita akan mampu mendapatkan undi Melayu.” – Roketkini.com