Berita

Zaid Ibrahim sertai DAP, dinasihat jangan jadi primadona

PETALING JAYA, 7 FEB: Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan menyertai DAP, dalam sidang media khas di kediamannya hari ini.

Khabar angin yang bertiup kencang sepanjang beberapa minggu lalu disahkan dalam acara khas yang turut menampilkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai serta Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Zaid dalam ucapannya menegaskan bahawa beliau memilih DAP bukan sahaja kerana beliau lebih selesa dengan parti tersebut, malah kerana ia merupakan parti politik yang berkesan menyelesaikan masalah rakyat.

Menurutnya, DAP selama ini dipropagandakan sebagai parti cauvinis Cina oleh UMNO demi memupuk rasa takut orang Melayu.

“Mereka sedar kerajaan BN akan tumbang sekiranya orang Melayu tidak takut kepada DAP,” ujarnya.

Sedangkan hakikatnya DAP telah berjaya membela nasib rakyat tanpa mengira kaum sepanjang lebih lapan tahun mengepalai pentadbiran negeri Pulau Pinang.

Mengulas keboborokan hasil kerja pentabdiran negara masa kini, Zaid mengambil peluang melancarkan serangan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Najib tidak boleh dipercayai. Dia ada zero credibility (tidak ada kredibiliti). Orang Melayu lebih percaya kepada Tun Dr. Mahathir,” tambahnya.

Jangan jadi primadona

Dalam reaksi kepada penyertaan bekas menteri UMNO itu ke dalam DAP, Kit Siang menasihati beliau agar bekerjasama dengan setiap lapis anggota dan pimpinan parti.

“Zaid perlu mainkan peranan sebagi ‘team player’ dan bukan primadona,” ujar Ahli Parlimen Gelang Patah itu, disambut gelak ketawa hadirin yang memenuhi ruang tamu kediaman Zaid di sini.

Bagi Tun Mahathir pula, penyertaan Zaid ke dalam DAP adalah suatu perkara ganjil.

“Tapi di negara ini ada banyak perkara ganjil. Seperti penyangak jadi perdana menteri. Dunia pun hairan kenapa negara kita masih simpan,” kata beliau yang menerajui negara selama lebih 20 tahun sebagai Perdana Menteri keempat.

Mahathir turut menegaskan bahawa DAP yang dahulu disebutnya sebuah parti cauvinis Cina, sebenarnya adalah sebuah parti berbilang kaum.

“Saya harap Zaid duduk dalam DAP lama sikit,” sindir beliau.

Zaid sebelum ini telah pernah diminta meninggalkan UMNO ekoran pendirian beliau dalam soal Akta Keselamatan Dalam Negeri sebelum menyertai PKR. Beliau kemudiannya juga meninggalkan parti tersebut untuk menubuhkan partinya sendiri.

DAP merupakan parti politik keempat disertai Zaid. – Roketkini.com