Berita

Guan Eng tak pernah campur urusan pelantikan mufti – Exco Agama

GEORGE TOWN, 8 FEB: PAS terus melancarkan serangan ke atas pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang apabila baru-baru ini menuduh kerajaan negeri cuba campur tangan dalam urusan pelantikan mufti negeri itu.

Ia susulan isu kontrak bekas mufti negeri, Datuk Seri Hassan Ahmad tidak disambung selepas tamat pada Jun 2014 kononnya ‘ingkar’ kepada arahan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berikutan isu kalimah Allah.

Tuduhan jahat oleh Setiausaha Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden itu bagaimana pun disanggah Exco Hal Ehwal Agama, Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim.

“Datuk Dr Wan Salim mengambil alih jawatan Mufti daripada Datuk Seri Hassan pada 7 Jun 2014 iaitu selepas empat tahun pewartaan kalimah Allah oleh kerajaan negeri.

“Dalam tempoh empat tahun, Datuk Seri Hassan disambung kontraknya pada setiap tahun iaitu sebanyak empat kali,” jelasnya.

Menyifatkan dakwaan Pemuda PAS itu sebagai fitnah dan berniat jahat, Abdul Malik berkata isu fatwa kalimah Allah bersama 39 kalimah suci Islam yang lain telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 29 April 2010.

Ini bermakna, ia diwartakan sewaktu Datuk Seri Hassan masih menjawat sebagai Mufti Pulau Pinang.

“Sebagai seorang bergelar ustaz, Afnan tidak sewajarnya membuat tuduhan semberono terhadap kerajaan negeri. Meskipun tohmahan itu ditujukan kepada pemimpin bukan Islam. Allah melarangnya,” kata Abdul Malik.

Beliau mendedahkan, kebanyakan urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Pulau Pinang mendapat nasihat terus daripada Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Hal pelantikan Mufti, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) dan Ahli Majlis MAINPP disyorkan dan diluluskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tidak ada sebarang campur tangan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

“Sepertimana dijelaskan oleh Mufti Pulau Pinang, Sahibus samahah Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor sebelum ini, bahawa Exco dan kerajaan negeri tidak pernah mencampuri urusan fatwa atau menghalang sebarang pewartaan fatwa,” tegas beliau. –Roketkini.com