Berita

Jangan gadai Melaka demi kepentingan politik – DAP Melaka

MELAKA, 8 FEB: Ketua Pembangkang DUN Melaka Khoo Poay Tiong membantah sekeras-kerasnya cadangan untuk menjadikan Negeri Melaka sebagai Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, jika cadangan itu dilaksanakan, kedaulatan Melaka sebagai asas kewujudan negara ini sejak 600 tahun lampau bakal terhapus.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang dilapor Bernama semalam menyebut tidak mustahil untuk merealisasikan cadangan menjadikan Melaka sebagai Wilayah Persekutuan.

“Saya mahu mengingatkan Idris bahawa slogan ‘segalanya bermula dari Melaka’ cukup membanggakan.

“Jangan gadaikan Melaka demi kepentingan politik. Jika Melaka dijadikan sebagai Wilayah Persekutuan, maka kedaulatan Melaka yang membentuk negara Malaysia akan dihapuskan,” kataAdun Ayer Keroh itu.

Tegasnya, DAP akan sentiasa mempertahankan kedaulatan Melaka dan Perlembagaan Persekutuan yang membentuk Malaysia. –Roketkini.com