Berita

Pakatan Harapan-PPBM disaran wujudkan manifesto anak muda hadapi PRU-14

PETALING JAYA, 8 FEB: Pakatan Harapan bersama-sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) disaran mewujudkan manifesto anak muda bagi memenangi semula hati golongan itu yang sejak akhir-akhir ini dilihat mula bosan dengan suasana politik negara.

Pengarah Pendidikan Politik Pemuda Sosial DAP (DAPSY) Subang, Farhan Haziq berkata, anak muda adalah pengundi teramai dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang, oleh itu perlu diberi perhatian awal oleh gerak kerja blok pembangkang.

“Manifesto anak muda ini kita boleh bangkitkan isu-isu anak muda dan ini patut dibuat Pakatan Harapan sebab anak muda sekarang sudah tolak politik, perlu ada manifesto untuk lawan UMNO-BN,” katanya dalam sesi meja bulat ‘Selamatkan Malaysia’ di sini, semalam.

Selain itu, menurut Farhan, Pakatan Harapan-PPBM juga harus bersiap siaga berdepan pilihan raya umum dan mengetepikan sebarang usaha yang boleh membantutkan kemajuan blok pembangkang.

Justeru, katanya, rundingan dengan PAS yang sedang diusahakan beberapa parti dalam pakatan pembangkang itu perlu diberi tempoh supaya gerak kerja menghadapi PRU-14 dapat dilaksanakan awal bagi menentang UMNO-Barisan Nasional.

“Kita perlu komited, mesti ada ‘timeline'(garis masa) untuk kita bergerak dalam satu pasukan. Kalau ada yang tidak mahu, kita terus bergerak. Sekarang ini, bincang, bincang dan bincang, kita tidak akan bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.

Pendirian itu dilihat berbeza dengan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) PPBM,  Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang masih mahu melaksanakan rundingan dengan PAS, malah menggesa agar parti dari blok pembangkang berhenti menyerang parti Islam itu.

“Walaupun di peringkat awal banyak parti pembangkang mahu satu lawan satu, tetapi tidak boleh kita nafikan juga di pihak PAS dengan campur tangan UMNO, kita pun ada keluar kenyataan-kenyataan yang mungkin boleh sabotaj usaha tersebut.

“Saya tahu ada yang datang dari parti saya sendiri tetapi pada masa sama juga datang dari parti-parti komponen Pakatan Harapan. Turunkan ego agak susah. Saya percaya jika kita tidak menyerang (PAS) balik, rakyat akan menilai kita berjiwa besar,” ujar Syed Saddiq. – Roketkini.com