Berita

UMNO khianati Felda, MARA dan Tabung Haji?

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Nasib tiga institusi yang selama ini ditubuhkan bagi menjaga hak dan kepentingan orang Melayu iaitu Tabung Haji, Felda dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dikhuatiri sedang dalam bahaya di bawah pentadbiran kerajaan UMNO – Barisan Nasional (BN).

Ini kerana ketiga-tiga institusi ini berdepan dengan dakwaan skandal dan penyelewengan akibat pengurusan dana yang diragui hanya menguntungkan pihak tertentu.

Sedangkan, institusi berkenaan sepatutnya memberi keutamaan kepada kepentingan seluruh kaum Melayu dan tidak dijadikan medium bagi mana-mana individu mengaut keuntungan peribadi.

Tabung Haji bukan mangsa fitnah, ada ‘orang kuat’ pecah amanah

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, dakwaan pecah amanah yang berlaku baru-baru ini melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Heavy Engineering adalah satu bukti yang tidak patut dipandang sebelah mata.

Tertuduh, Nor Badli Munawir pada 26 Januari lalu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melakukan penyelewengan melibatkan wang bernilai RM2.5 juta.

“Ini merupakan bukti bahawa Tabung Haji bukan mangsa fitnah politik tetapi memerlukan rombakan,” katanya dalam Sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia yang berlangsung semalam.

FWC rugi, tapi mampu tanggung anak bekas timbalan ketua pengarah

Menurut Rafizi, perkara sama juga berlaku kepada Felda apabila sebuah anak syarikatnya, Felda Wellness Corporation (FWC) didakwa membayar gaji dan kos sara hidup anak perempuan seorang bekas timbalan ketua pengarahnya di Australia.

Ia termasuk gaji AS$128,000, sebuah kereta syarikat dan penginapan di kondominium mewah, dakwa sebuah firma Australia, Gordagen Pharmaceuticals Pty Ltd baru-baru ini.

Sedangkan, jelas Rafizi, FWC mengalami kerugian sebanyak RM155 juta dan berhutang sebanyak RM154 juta dalam dua tahun setengah operasinya mulai Julai 2013.

“Apa perasaan peneroka-peneroka apabila mereka tahu segelintir pegawai kanan Felda membelanjakan RM155 juta wang mereka dalam tempoh dua tahun setengah, termasuk untuk membiayai kehidupan selesa anak bekas Timbalan Ketua Pengarah Felda?” katanya.

Skandal pembelian asrama oleh MARA

Bagi MARA, Ahli Parlimen Pandan itu sejak tahun lalu mendedahkan skandal melibatkan pembelian dua asrama pelajar di Australia, iaitu Dudley House dan Swanston ST.

Menurutnya, sebuah syarikat milik ‘orang kuat’ UMNO, Thrushcross Land Holdings Ltd membeli dua bangunan itu dengan harga jauh lebih rendah, iaitu berjumlah AS$46.1 juta.

“Sedangkan, syarikat itu dijual pada harga AS$65.4 juta kepada MARA Inc, beserta dengan dua asrama itu sekali.

“MARA Inc juga ambil alih hutang Thrushcross sebanyak AS$22.5 juta. Ini bermakna MARA Inc bukan saja beli dua asrama dengan harga lebih mahal, tapi ‘tolong’ bayar hutang yang digunakan Thrushcross untuk membeli dua asrama itu,” ujarnya.

Melalui pembelian tersebut, MARA didakwa mengalami kerugian mencecah AS$26.9 juta (RM81 juta), manakala ‘orang kuat’ UMNO pula memperoleh untung atas angin berjumlah AS$40.8 juta (RM122.4 juta).

“Saya khuatir penyelewengan dana MARA yang membawa kesan besar kepada pelajar Bumiputera ini didiamkan begitu sahaja dan dana yang diselewengkan tidak dirampas dari individu-individu terbabit.

“Atas sebab inilah, Pakatan Harapan mesti bekerja lebih kuat. Kita kena pastikan rakyat yakin kita boleh bawa pembaharuan dan menjaga semua institusi itu jauh lebih baik dari kerajaan yang ada hari ini,” tegasnya. – Roketkini.com