Berita

DAP saran tiga pantang demi suasana politik baru yang lebih baik

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Politik ketakutan, benci dan fitnah adalah tiga pantang yang harus diberi perhatian bagi mewujudkan suasana politik baru di negara ini yang berteraskan nilai-nilai kejujuran, moral dan etika, ujar Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Justeru, beliau mencabar kepimpinan UMNO-Barisan Nasional (BN) menerima prinsip tersebut demi memelihara keharmonian pelbagai kaum dan agama di negara ini.

“Mari kita lihat sama ada UMNO, MCA, GERAKAN, MIC dan seluruh kepimpinan BN berani untuk menyahut cabaran ini atau mereka akan terus mendiamkan diri seperti tidak ada apa-apa pun yang berlaku!” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, arus politik negatif semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini berikutan ura-ura bahawa pilihan raya umum akan berlangsung pada tahun ini.

Tambah Kit Siang, ini termasuk cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menjadikan Pulau Pinang di bawah pentadbiran Pakatan Harapan sebagai sebahagian daripada kementeriannya.

Malah, katanya, pentadbiran negeri Pulau Mutiara itu juga sering difitnah melaksanakan dasar anti-Melayu dan anti-Islam.

Tengku Adnan atau Ku Nan sebelum ini menyatakan hasrat untuk menjadikan Pulau Pinang, Langkawi, dan Melaka sebagai sebahagian Wilayah Persekutuan, namun mendapat tentangan pelbagai pihak.

Mengulas mengenai hasrat Ku Nan itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, kenyataan itu membuktikan kebimbangan UMNO-BN terhadap kurangnya sokongan rakyat Pulau Pinang terhadap parti pemerintah berkenaan.

“Itulah sebab mengapa pemimpin, propagandis, dan cybertrooper UMNO melipatgandakan usaha menyebarkan politik ketakutan, benci dan fitnah terhadap DAP,” ujarnya. – Roketkini.com