Berita

Insinerator Kepong: Dedah perjanjian konsesi agar kesilapan tak berulang

SERDANG, 10 FEB: Perjanjian konsesi bagi rancangan projek insinerator di Kepong mesti didedahkan untuk mengelakkan kesilapan sama berulang sehingga merugikan wang cukai yang dibayar rakyat.

Sebelum ini, tiga projek insinerator yang lebih kecil iaitu di Pulau Pangkor, Langkawi dan Cameron Highlands mengalami kegagalan dengan kos yang besar terpaksa ditanggung oleh kerajaan, kata Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming.

Justeru, beliau memohon Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan mendedahkan kos unjuran projek, bayaran fi yang dikenakan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, syarat jaminan sisa serta panjang tempoh konsesi.

Selain itu, kerajaan juga diminta menyatakan petunjuk prestasi dan syarat-syarat yang membolehkan Putrajaya mengambil alih projek tersebut jika ia gagal dilaksanakan.

“Menteri juga mesti meyakinkan rakyat tentang keperluan untuk insinerator di Kepong kerana Kuala Lumpur telah pun memulakan pemisahan sisa perbandaran yang sepatutnya mengurangkan jumlah keseluruhan sisa yang perlu dilupus,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan bahawa tiga syarikat telah disenarai pendek untuk projek insinerator itu yang dijangka merupakan projek terbesar di Malaysia.

Syarikat-syarikat itu adalah Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) dengan kerjasama Korea Selatan Hyundai Rotem Co; Cenviro Sbd Bhd (dahulunya UEM Environment Sdn Bhd) dengan kerjasama Jepun Mitsubishi Heavy Industries Ltd; dan DRB-Hicom dengan kerjasama Malakoff Corp Bhd dan Jepun Sumitomo Corp.

Konsesi itu dijangka dianugerahkan pada bulan depan, lapor portal The Edge. – Roketkini.com