Berita

Majlis Perbandaran Kluang diselar jadi alat sabotaj program Pakatan-PPBM

KLUANG, 10 FEB: Agensi kerajaan sepatutnya tidak boleh diperalatkan oleh mana-mana pihak bagi mensabotaj sebarang program anjuran parti politik.

Namun, program Bicara Rakyat anjuran Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang akan diadakan malam ini telah ‘diganggu’ oleh pihak Majlis Perbandaran Kluang (MPK).

Sekitar 2.15 pagi tadi, pegawai penguatkuasa MPK telah membuka semua bendera dan banner program tersebut tanpa menyediakan sebarang surat arahan rasmi kepada penganjur program.

Sebelum itu, pegawai MPK telah berjumpa penganjur dan mendesak agar bendera dan banner diturunkan, namun pihak Pakatan Harapan dan PPBM Kluang meminta justifikasi kukuh atas tuntutan berkenaan.

Dalam satu kenyataan bersama, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali dan Penyelaras PPBM Kluang, Radzali Mohd Noor mengutuk keras tindakan MPK itu serta menganggap ia langsung tidak berasas.

“Kami yakin bahawa ada desakan serta campur tangan politik di sebalik tindakan MPK oleh mereka yang terdesak terhadap kemaraan Pakatan Harapan dan PPBM Kluang. Agensi kerajaan tidak boleh diperalatkan oleh mana-mana pihak.

“Pihak kami yang menganjurkan program ini merupakan parti sah dan wajar diberikan hak untuk menjalankan sebarang aktiviti mengikut lunas-lunas demokrasi yang diperuntukkan oleh perlembagaan.

“Kami telah pun mengikut segala prosedur yang diperuntukkan dalam Akta Perhimpunan Aman,” tegas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan semberono mengarahkan penganjur menurunkan bendera dan banner itu hanya menunjukkan MPK tidak profesional serta cuba menyekat demokrasi rakyat.

“Hal yang berlaku ibarat satu bentuk sabotaj yang cuba dilakukan ke atas program Pakatan Harapan dan PPBM Kluang. Ia suatu tindakan tidak bermaruah apabila hitam putih gagal dikemukakan,” ujarnya lagi.

Program Bicara Rakyat yang akan diadakan malam ini menampilkan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub dan Pengerusi PKR Johor Hassan Karim.

Ia akan berlangsung pada pukul 8.30 malam bertempat di Pusat Komuniti Kluang berhampiran Pusat Perniagaan Tasik. Orang ramai dijemput hadir ke program berkenaan. – Roketkini.com