Berita

DAP tak pernah berubah, terus komited selamatkan Malaysia dari BN

GEORGE TOWN, 13 FEB: Masalah peribadi tidak harus menjadi sebab kepada mana-mana pihak untuk mengundur diri daripada perjuangan menyelamatkan Malaysia daripada budaya rasuah dan beban ekonomi yang melanda negara hari ini.

Justeru, tindakan empat ahli DAP Melaka keluar parti semalam tidak akan mematahkan semangat parti, sebaliknya DAP akan terus lantang mempertahankan undang-undang dan hak rakyat daripada dimanipulasi Barisan Nasional, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“DAP tak pernah berubah, kita kekal sama seperti dulu.

“Tapi, Sim dan puaknya yang berubah selepas kekalahan mereka dengan tidak henti-henti menyerang parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Empat wakil rakyat DAP di Melaka semalam bertindak keluar parti kerana menuduh kononnya DAP telah tersasar dari matlamat perjuangan asalnya.

Mereka terdiri dari Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him, Adun Duyong, Goh Leong San, Adun Bachang, Lim Jak Wong serta Adun Kesidang, Chin Choong Seong.

Menempelak dakwaan mereka, Guan Eng berkata adalah jelas bahawa empat wakil rakyat itu tidak dapat menerima kenyataan apabila ditolak oleh ahli-ahli DAP yang lain sehingga tewas dalam pelantikan semasa Konvensyen DAP Melaka 2015.

Goh Leong San pada waktu itu digantikan oleh Adun Banda Hilir, Tey Kok Tiew sebagai Pengerusi DAP Melaka.

“Daripada bekerja keras bagi memenangi kembali keyakinan ahli DAP Melaka, mereka sebaliknya berpaling tadah, sehingga menyebabkan sebelum ini Sim dan Goh digantung setahun oleh parti,” ujarnya.

Guan Eng menambah, mana-mana ahli parti yang ikhlas menyayangi DAP pasti sanggup berbincang tentang perbezaan dasar dengan kepimpinan tertinggi, namun empat wakil rakyat itu tidak berbuat demikian.

“Mereka seolah-olah keliru dengan alasan mereka meletak jawatan, yang nampaknya didorong oleh rasa tidak puas hati akibat kekalahan mereka dan penggantungan sebelum ini,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu turut melahirkan kekecewaannya dengan pengkhianatan Sim kerana sebelum ini beliau kerap menyatakan akan kekal sebagai ahli DAP untuk seumur hidup.

“Saya akui tersilap kerana mempercayai Sim dan lain-lain akan kekal setia kepada DAP dalam agenda menyelamatkan Malaysia walaupun wujud perbezaan pendapat dalam parti.

“Sim nampaknya telah melanggar janji, bukan saja terhadap parti, tapi rakyat yang menyokong DAP,” luahnya. – Roketkini.com