Berita

Rakyat tak perlu bayar RM55 juta bawah pentadbiran Pakatan Harapan P. Pinang

GEORGE TOWN, 13 FEB: Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekali lagi membuktikan komitmennya meringankan beban rakyat, kali ini dengan memberi pengecualian dan rebat cukai kepada pelbagai pihak di negeri itu.

Sebagai sebuah kerajaan berjiwa rakyat, pengecualian 100 peratus cukai pintu telah diberikan kepada semua penghuni kos rendah (LC), kos sederhana rendah (LMC) dan rumah kampung atau bertanah.

Selain itu, sejumlah 200,000 pemilik unit hartanah termasuk hartanah komersial juga menikmati rebat enam peratus cukai pintu bagi tahun ini.

Manakala, bayaran cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pula dikecualikan untuk semua perkhidmatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai berjumlah RM19.36 juta.

Semua pengecualian dan rebat itu bermakna, rakyat Pulau Pinang secara keseluruhannya dapat menjimatkan RM55.19 juta bagi tahun 2017, umum Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam sidang media pagi tadi.

“Pengurangan dan rebat (cukai pintu) ini adalah respons Kerajaan Negeri kepada GST.

“Kita menentang GST sama sekali, kerana GST adalah ‘perompak’ ekonomi negara.

“Oleh kerana mereka (Kerajaan Pusat) angkat (kenakan) GST enam peratus, maka kita (Kerajaan Negeri) berikan diskaun enam peratus semula kepada rakyat melalui rebat pengurangan cukai sebagai inisiatif untuk mengurangkan beban kewangan rakyat Pulau Pinang,” tegasnya. – Roketkini.com