Rencana

Siapa pemimpin de facto Malaysia, Najib Razak atau Malaysian Official 1?

DALAM status twit Perdana Menteri Najib Tun Razak yang dimuat naik semalam membuat satu dakwaan yang sangat licik apabila menyatakan bahawa pemimpin de facto pembangkang adalah Lim Kit Siang.

Beliau turut menyatakan lagi bahawa DAP harus berhenti dari bersembunyi dan pengundi sedar bahawa parti DAP mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen. Status ini turut diulang twit oleh BERNAMA.

Saya percaya status sebegini adalah permainan licik berkaitan isu pemimpin De Facto apabila baru-baru ini Zaid Ibrahim menyifatkan Tun Dr Mahathir sebagai pemimpin tersebut. Isu ini berlarutan apabila wakil DAP menafikannya, malah Menteri Besar Selangor menyatakan secara halus bahawa Ketua Pembangkang adalah Presiden PKR.

Najib Tun Razak melihat isu ini peluang besar untuk dimanipulasinya. Tetapi jelas sekali bahawa manipulasi tidak bersandar pada asas-asas yang meyakinkan.

Sudah tentu beliau membaca, rakyat sangat mudah dibeli dengan sentimen kepada DAP. Dengan menyatakan DAP menggunakan pemimpin-pemimpin Melayu, parti rakan termasuk parti berteraskan Islam untuk menfaat Cina Dap. Ini akan menggoncang keyakinan dan sokongan rakyat kepada parti-parti pembangkang.

Ini tujuan politik Najib Tun Razak. Dakwaan ini bersandarkan hujah kerusi DAP lebih banyak di Parlimen berbanding kerusi parti lain, ini bukan asas untuk mendakwa Lim Kit Siang itu pemimpin de facto kerana, beliau hanyalah ketua parlimen bagi DAP, bukan gabungan pembangkang.

Kemenangan undi popular PRU-13 parti-parti pembangkang adalah dibawah pengaruh kepimpinan Anwar Ibrahim, Allahyarham Nik Aziz dan mendiang Karpal Singh.

Ketiga-tiga susuk inilah yang menjadi pemimpin de facto pembangkang. Anwar Ibrahim pemimpin de facto PKR, begitu juga allahyarham Tuan Guru Nik Aziz bagi PAS dan mendiang Karpal bagi DAP.

Dakwaan Najib ini juga ingin merendah-rendahkan lawan politiknya yang baru seperti Tun Mahathir, Muhyiddin Yassin dan lain-lain. Ini tidak pelik.

Rahmat bagi kita bila Najib membuat dakwaan ini ialah, kita dapat bertanya kembali kepada Umno dan rakyat Malaysia satu soalan penting.

Jika Najib ini Perdana Menteri, siapakah pemimpin de facto Malaysia yang sebenar? Rakyat tahu butiran yang disebut oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika tahun lalu bahawa Malaysian Official 1 ini mempunyai kuasa yang sangat berpengaruh di Malaysia.

Ini jelas menunjukkan bahawa MO1 adalah dalang dan Ketua De Facto sebenar yang tekah menyusahkan rakyat Malaysia.

Bilakah Najib atau Umno boleh menjawab soalan ini kepada rakyat Malaysia secara jujur? -Roketkini.com

*Mahdzir Ibrahim ialah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor