Rencana

Bukti nyata DAP bela kebajikan Melayu dan Islam

SEBAGAIMANA terbukti di Pulau Pinang, Parti Tindakan Demokratik (DAP) jelas membela kebajikan orang Melayu dan Islam. Bukan itu sahaja, dasar kebajikan kerajaan Pulau Pinang juga meliputi segenap lapisan masyarakat negeri itu. Sudah tentu, hakikat ini tidak mampu diterima pihak yang terus menerus menabur benci memburuk-burukkan DAP di media arus perdana mahupun media sosial.

Kempen jahat memburukkan DAP ini tidak boleh diselindungkan lagi. Inilah strategi yang dilancarkan jentera dan tentera siber UMNO-Barisan Nasional bersama gerombolan mereka untuk menanam rasa benci khususnya di kalangan rakyat yang beragama Islam.

Persoalannya, sejauh mana dakwaan pencacai ke atas DAP ini benar?

Di dalam Perlembagaan DAP yang dirangka pada tahun 1966 dan melalui pindaan pada 2006, DAP jelas menjunjung Perlembagaan negara termasuklah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan 1957.

Perlu diingat juga, DAP adalah pertubuhan politik yang sah berdaftar di sisi undang-undang dan mempunyai ramai Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen. Bak kata seorang rakan, bagaimana mungkin DAP boleh berkembang seperti sekarang jika parti ini berfahaman komunis ataupun anti-Melayu dan anti Islam? Sudah tentu ia sudah lama diharamkan!

Persepsi seringkali bercanggah dengan fakta. Apabila fikiran manusia setiap hari disuap dengan cerita-cerita dongeng ‘DAP anti-Islam’, ‘komunis’ dan sebagainya, sudah tentu sedikit sebanyak mereka yang mendengar atau membaca akan termakan dengan dakyah jahat itu.

Fitrah manusia, akal lebih mudah mencerna maklumat ringan berbanding cerita berdasarkan fakta. Apa yang dipropagandakan oleh UMNO-BN sejak dahulu lagi adalah berdasarkan manipulasi kisah-kisah berbentuk persepsi yang terbatas dan tohor tanpa mengeluarkan fakta dan bukti tepat bahawa DAP adalah anti-Islam.

Secara logik, adalah mustahil bagi parti-parti sekutu kuat DAP iaitu PKR dan Amanah yang mempunyai pemimpin-pemimpin Islam untuk bekerjasama dengan DAP jika benar parti ini anti-Islam. Malahan PAS yang satu ketika dahulu berada di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Aziz sebelum berpindah ke tangan Tuan Haji Hadi Awang juga menghulur kerja sama erat dengan DAP.

Fakta bahawa Lim Guan Eng pernah dipenjarakan selama dua tahun semata-mata membela maruah seorang gadis Melayu yang dicalarkan oleh seorang pemimpin terkemuka UMNO berbangsa Melayu dan beragama Islam masih belum luput dari ingatan. Setidak-tidaknya kita berfikir, apakah keuntungan seorang pemimpin parti yang dikatakan sebagai anti-Islam dengan membela nasib dan maruah seorang penganut Muslim ini?

Islam menentang kezaliman, penahanan tanpa perbicaraan yang adil, rasuah, penindasan terhadap kaum minoriti, ketidakadilan dan inilah juga antara dasar perjuangan DAP.

Tidak ada pada DAP sesuatu yang boleh mengancam agama dan penganut Islam di Malaysia. Walaupun mungkin berbeza akidah dan berbeza pandangan terhadap agama, itu tidak boleh menjadikan DAP sebagai mengancam Islam.

Satu lagi fakta yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak adalah, sejak DAP mengetuai pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang, peruntukan belanjawan bagi pembangunan Islam di Pulau Pinang melibatkan Sekolah Agama Rakyat, masjid dan badan serta institusi Islam lain di negeri itu bertambah dari tahun ke tahun berbanding negeri-negeri lain yang perintah oleh BN. Malahan, para tahfiz Al-Quran turut diberi imbuhan oleh kerajaan DAP di Pulau Pinang.

Berdasarkan perangkaan, peruntukan belanjawan bagi hal ehwal Islam di Pulau Pinang di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan jauh berbeza berbanding kerajaan BN.

Tahun 2008: RM25.49 juta

Tahun 2009: RM37.25 juta

Tahun 2010: RM39.60 juta

Tahun 2011: RM65.27 juta

Tahun 2012: RM66.38 juta

Tahun 2013: RM55.13 juta

Tahun 2014: RM52.21 juta

Tahun 2015: RM54.08 juta

Peruntukan ini tidak lagi termasuk belanjawan keseluruhan pembangunan dan kebajikan seluruh rakyat Pulau Pinang. Fakta-fakta angka ini sendiri menunjukkan segala tohmahan terhadap DAP tersasar dari realiti

Momokan DAP sebagai anti-Islam hanyalah retorik untuk mengundang rasa takut dan benci di kalangan pengundi Islam. Hakikatnya, DAP adalah parti yang komited dan konsisten memperjuangkan keadilan, kesaksamaan dan kesetiakawanan. DAP juga sebuah parti yang ‘buta’ agama, bangsa dan jantina. DAP adalah parti untuk seluruh rakyat Malaysia! -Roketkini.com

*Kamsi Ahmad adalah aktivis DAP Keningau, Sabah