Berita

Kejayaan projek air graviti Keningau: DAP buat kerja, bukan sekadar cakap

KENINGAU, 14 FEB: Kejayaan projek air graviti Talayon Tanaru melibatkan hampir 21 kilometer penyambungan paip di Mukim Bunga Raya merupakan hasil kesungguhan DAP menaiktaraf kehidupan masyarakat di pedalaman Sabah untuk menikmati kemudahan asas.

Kini, penduduk tidak lagi perlu bersusah payah mengangkut air atau menadah baldi dan tangki menunggu hujan turun. Hajat mereka selama empat dekad untuk menikmati bekalan air berterusan sudah tercapai.

Dalam ucapan perasmiannya, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata, projek ini merupakan yang terbesar dilaksanakan pada waktu ini dengan kos ‘hanya’ RM267,000.

“Masa yang sama penduduk kampung, orang Sabah, mendapati ada pegawai di Jabatan Air Sabah menyonglap lebih RM100 juta wang tunai seperti yang ditemui dalam kabinet pejabat.

“Manakala berbilion lagi peruntukan untuk pembangunan infrastruktur air luar bandar telah pun lesap akibat rasuah dan penyelewengan,” katanya.

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt dalam ucapannya berkata, ketiadaan kemudahan asas kepada penduduk luar bandar di Sabah membuktikan kegagalan kerajaan BN membantu rakyat.

Beliau pada masa yang sama menyelar Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang gagal melaksanakan tanggung-jawab selaku Menteri Pembangunan Infrastruktur dan juga memegang portfolio sebagai Ahli Parlimen Keningau sejak tahun 1986.

“Saya sedih dan tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perkara ini. Pairin telah berkali-kali diberikan mandat oleh rakyat tetapi masih gagal melaksanakan misi pembangunan infrastruktur asas di sini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sandakan.

Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin berkata, masyarakat di kawasan luar bandar sepatutnya berhak untuk menikmati bekalan air bersih sama seperti yang tinggal di bandar.

“Tetapi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dibiarkan terbelenggu dengan kemiskinan agar sentiasa mengharapkan ihsan daripada kerajaan,” katanya.

Menurut Adun Sri Tanjung itu, usaha DAP dan Impian Sabah menyediakan kemudahan asas kepada masyarakat yang terpinggir merupakan sebuah usaha untuk memberdayakan masyarakat.

Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili pula menyebut bahawa kewujudan sistem bekalan air graviti ini amat bermanfaat kepada penduduk-penduduk Mukim Bunga Raya.

Menurutnya, sebelum ini penduduk terpaksa membeli air dari pihak luar terutamanya sewaktu musim kemarau.

“Mereka terpaksa memberi air daripada pihak luar yang mencecah harga RM 40 untuk satu tangki. Mereka juga yang terpaksa berjalan kaki jauh mencari sumber air untuk kegunaan mandi, membasuh pakaian dan pinggan mangkuk,” kata beliau.

Turut hadir dalam majlis perasmian bersejarah itu ialah Penasihat DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin, Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Dr Edwin Bosi dan pimpinan DAP peringkat tempatan dan negeri. -Roketkini.com