Berita

“Kenapa Jabatan Perhutanan Kelantan ‘terdesak’ musnahkan hadangan Orang Asli?”

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Tindakan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan minggu lalu meroboh hadangan (blockade) yang dibina Orang Asli Gua Musang  terus mengundang bantahan meluas masyarakat.

Ini kerana, pemusnahan hadangan yang bertujuan untuk mempertahankan tanah adat dan ekosistem kawasan terbabit dari sebarang aktiviti pembalakan dipercayai telah melanggar  undang-undang khususnya melibatkan hak tanah dan adat resam Orang Asli.

Justeru, sekurang-kurangnya sekumpulan 150 Orang Asli Gua Musang, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik hari ini berhimpun di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) untuk menyerahkan memorandum bantahan anjuran Biro Orang Asli Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Perhimpunan bermula sekitar jam 10.45 pagi tadi merupakan bantahan masyarakat Orang Asli Temiar, Gua Musang meliputi beberapa kawasan penempatan sekitar Pos Simpang Petei, Pos Cawas dan lain-lain lagi.

Menurut Penyelia Biro Orang Asli PSM, Suresh Kumar, tindakan agensi berkenaan sebelum ini jelas melanggari banyak undang-undang terutamanya melibatkan hak tanah adat Orang Asli.

“Kita nak tahu kenapa Jabatan Perhutanan terdesak untuk memusnahkan hadangan yang dibuat Orang Asli?

“Adakah Jabatan Perhutanan mendapat tekanan dari kerajaan Kelantan yang memaksa mereka ambil tindakan demikian?

“Selain itu, persoalan lain ialah adakah Jabatan Perhutanan sendiri bersekongkol dengan pembalak?” soalnya ketika dihubungi Roketkini.

Beliau berharap supaya pihak berkenaan menyelesaikan segera masalah yang dihadapi masyarakat Orang Asli ini secara tuntas melalui perundingan.

Penyerahan memorandum ini turut mendapat sokongan daripada beberapa NGO dan masyarakat sivil yang hadir seperti Community Development Centre, Jaringan Rakyat Tertindas JERIT, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) Malaysia, Otai Reformasi, peguam Siti Kassim dan Ketua Pembangkang DUN Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Menurut Tengku Zulpuri, kehadiran beliau adalah sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap nasib yang menimpa masyarakat Orang Asli di Gua Musang.

“Kawasan Gua Musang bersempadan dengan negeri Pahang bersebelahan Cemeron Highlands yang mana kita dapati juga banyak isu-isu penindasan terhadap hak masyarakat Orang Asli di sana,” kata Adun Mentakab itu.

Minggu lalu, foto pemusnahan hadangan Orang Asli oleh Jabatan Perhutanan Kelantan menjadi tular di media sosial apabila terdapat dakwaan selain dirobohkan, sisa hadangan tersebut telah dibakar dalam satu operasi membabitkan sekitar 17 buah kenderaan agensi berkenaan yang masuk ke Blockade Cawas, Simpang Petei dan juga Blockade Pasik.

Bagaimanapun dakwaan itu segera dinafikan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK), Datuk Zahari Ibrahim dan berkata kebakaran itu berpunca daripada bara api yang ditinggalkan sekumpulan Orang Asli dalam pondok berkenaan sebagaimana dilaporkan pegawainya. –Roketkini.com