Berita

Alasan pengharaman Dego Ride mengelirukan

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Tindakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai membangkitkan isu keselamatan sebagai alasan pengharaman Dego Ride dipersoal Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.

Menurut Rajiv, alasan menteri berkenaan mengelirukan kerana tidak ada bukti menunjukkan penunggang perkhidmatan ‘teksi motorsikal’ itu mengundang lebih bahaya kepada penumpang berbanding penunggang motorsikal yang tidak menjalankan perkhidmatan tersebut.

“Menteri berkenaan sepatutnya menangani masalah sebenar berhubung isu keselamatan penunggang motorsikal, dan tidak bermain politik dwi-standard terhadap penunggang Dego,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, 35 peratus kemalangan maut yang terjadi di negara ini adalah disebabkan oleh kegagalan penunggang motorsikal memakai topi keledar.

“Daripada terus memburu penunggang Dego, adalah lebih baik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menangani masalah tersebut jika mereka benar-benar jujur mahu mengurangkan masalah kemalangan dan kematian,” katanya.

Selain itu, katanya, mengikut kajian Institusi Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) 66 peratus kemalangan berlaku di kawasan pinggir bandar meskipun majoriti penduduk negara ini tinggal di kawasan bandar.

“Malah fakta daripada MIROS juga mendapati kurang daripada 20 peratus kemalangan berlaku disebabkan oleh penumpang motorsikal, dengan lebih 80 peratus kemalangan disebabkan oleh kecuaian penunggang itu sendiri.

“Ia sekaligus membuktikan bahawa penunggang Dego dan bukan penunggang Dego mempunyai risiko yang sama untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya,” ujarnya.

Semalam, Bernama melaporkan kabinet bersetuju dengan pengharaman perkhidmatan Dego Ride dan akan menjelaskan kepada orang ramai mengapa perkhidmatan itu perlu dihentikan. – Roketkini.com