Berita

DAP Sabah sedia hadapi pilihan raya negeri

KUALA LUMPUR, 16 FEB: DAP Sabah menyatakan kesediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) jika ia diadakan secara berasingan lebih awal berbanding pilihan raya umum (PRU).

Menurut Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin, persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan itu telah dibuat lebih awal memandangkan tempoh penggal pilihanraya umum lalu sudah pun memasuki tahun keempat.

Chan Foong Hin, Setiausaha DAP Sabah, Adun Sri Tanjong

Sepanjang tempoh tersebut jelas  Adun Sri Tanjong itu, banyak program di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dianjurkan khususnya bagi semua kawasan berpotensi ditandingi DAP.

“Antara yang kita anjurkan ialah latihan PACA di setiap kawasan yang kita minat untuk bertanding, penubuhan cawangan-cawangan baru, penyempurnaan sayap wanita dan belia, pembentukan jawatankuasa persediaan pilihanraya, forum-forum isu semasa dan sebagainya,” ujar beliau ketika dihubungi Roketkini.

Ini katanya termasuklah program-program pembangunan masyarakat dan naik taraf kemudahan asas seperti yang dianjurkan Impian Sabah.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi di kalangan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH), Chan menjelaskan rundingan pembahagian kerusi akan selesai dalam tempoh terdekat.

“Rundingan kerusi sesama parti dalam PH dijangka selesai dalam masa terdekat.

“Bagi parti-parti tempatan, peluang rundingan masih terbuka,” ujarnya lagi. -Roketkini.com