Berita

Kos hidup membebankan? Jangan kritik sahaja, daftarlah sebagai pengundi

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan kecacatan pentadbiran Barisan Nasional (BN) digesa untuk segera mendaftarkan diri sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum hujung Mac tahun ini.

Ia berikutan, kata Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, jangkaan bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan diadakan pada September 2017 dan ke atas, tambahan pula SPR memerlukan lima ke enam bulan untuk memproses sebarang pendaftaran.

“Kami (Publisiti DAP) melancarkan kempen pada hari ini untuk menyeru supaya mereka yang masih lagi belum mendaftar tapi layak mendaftar supaya pergi ke pejabat pos yang terdekat untuk mendaftar diri sebagai pengundi.

“Dan jika petugas pejabat pos berkenaan kata mereka sudah kehabisan borang atau sistem tergendala, carilah pejabat pos yang lain. Jangan bertangguh-tangguh lagi.

“Ambil cuti (jika perlu), dan cari semua pejabat pos di kawasan berhampiran untuk memastikan anda mendaftar sebagai pengundi,” tegasnya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, sentimen rakyat yang tidak berpuas hati dengan pelbagai pelaksanaan dasar membebankan UMNO-BN seperti kenaikan harga minyak dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) harus dizahirkan melalui peti undi.

“Kalau nak ubah kerajaan, bagi kitalah (Pakatan Harapan), kalau tak puas hati dengan kerajaan hak untuk mengubah kerajaan adalah ditangan anda,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching berkata, corak pendaftaran pengundi dilihat menurun selepas PRU-13 berbanding sebelumnya akibat daripada rasa putus harap rakyat terhadap kegagalan pihak pembangkang membentuk kerajaan Persekutuan.

“Apa yang kita lihat pada PRU yang lalu, 52 peratus rakyat Malaysia telah mengundi pakatan pembangkang yang ketika itu Pakatan Rakyat untuk menjadi kerajaan di Putrajaya.

“Namun oleh kerana sistem pilihan raya di Malaysia (tidak melihat undi popular), BN telah berjaya membentuk kerajaan. Kesan daripada itu rakyat negara ini merasa putus harap, walaupun harapan untuk perubahan itu masih ada,” ujarnya.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai, merayu agar orang ramai yang layak tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih supaya berbuat demikian secepatnya.

“Mesej yang kami mahu sampaikan kepada rakyat Malaysia ialah, jika kamu mahukan perubahan, tapi kamu belum lagi mendaftar sebagai pengundi, secara umumnya tidak banyak yang boleh dilakukan untuk merubah kerajaan atau merubah masa depan negara.

“Jadi kalau memang tak puas hati dengan institusi kerajaan, dengan situasi negara kita, adalah penting untuk kita mendaftarkan diri sebagai pengundi,” katanya sambil menambah di negara ini dianggarkan empat juta orang masih belum mendaftarkan diri sebagai pemilih.

Katanya, jika 25 peratus atau satu juta rakyat negara ini mendaftar sebagai pemilih, Pakatan Harapan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menawan Putrajaya dalam PRU-14.

Mengikut statistik, pada 2011, lebih satu juta rakyat Malaysia telah mendaftar sebagai pemilih, namun jumlah itu dilihat menurun dari 2013 hingga 2015 dengan hanya 617,000 mendaftar sebagai pemilih dalam tempoh tiga tahun berkenaan. – Roketkini.com