Berita

Kerajaan perlu struktur semula jawatan eksekutif, bukannya buang penjawat awam – Amanah

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Gesaan agar kerajaan mengecilkan saiz perkhidmatan awam membuktikan bahawa situasi ekonomi negara hari ini dalam keadaan tenat akibat kegagalan urus tadbir kerajaan UMNO Barisan Nasional.

Namun, nasib penjawat awam tidak harus diperjudikan kerana mereka juga mangsa kepada masalah kos sara hidup tinggi yang melanda rakyat, tegas Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional.

Ketuanya, Mohd Sany Hamzan berkata kerajaan wajar mencari penyelesaian kepada isu beban kewangan, dan bukannya memindahkan masalah tersebut kepada rakyat yang tidak bersalah.

“Tumpuan wajar diberikan untuk mendesak kerajaan BN agar melakukan penstrukturan ke atas jawatan-jawatan eksekutif kerajaan persekutuan.

“Ini termasuklah kewajaran dua Menteri Kewangan yang kini dipegang Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Datuk Johari Abdul Ghani,” ujarnya.

Selain itu, Sany berpendapat jabatan yang dilihat kurang berperanan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) serta jawatan penasihat dan duta khas bertaraf menteri perlu dimansuhkan kerana kerajaan terpaksa menampung kos operasinya.

Hal ini termasuklah jabatan yang mempunyai tugas bertindih seperti  Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan Kementerian Pengangkutan.

“Dalam jangka masa pendek, penstrukturan ke atas jawatan eksekutif lebih wajar berbanding mengurangkan perkhidmatan awam yang memberi kesan negatif kepada kelompok terlibat.

“Untuk jangka masa panjang, rakyat mesti melakukan perubahan secara total dan memberi mandat kepada kerajaan baru untuk memerintah negara!” ujarnya.

Gesaan agar kerajaan mengecilkan saiz perkhidmatan awam baru-baru ini dibuat oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Sheriff yang khuatir ia menimbulkan masalah kepada kewangan negara.

Hal itu bagi mengelak Malaysia daripada terjerumus ke dalam krisis kewangan seperti yang berlaku di Greece. – Roketkini.com