Berita

Kepentingan Orang Asal, tanah hak adat Sabah terus dapat pembelaan DAP

PENSIANGAN, 18 FEB: DAP terus komited membela hak dan kepentingan semua rakyat Malaysia, termasuklah masyarakat orang Asal di Sabah dan Sarawak.

Ia dapat dilihat melalui pelaksanaan pelbagai projek Impian yang bertujuan meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asal dengan menyediakan kemudahan-kemudahan asas di kawasan pedalaman.

Hal ini kerana sehingga kini, masih banyak masyarakat pedalaman yang dinafikan hak menikmati kemudahan asas oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Selain itu, DAP juga bertungkus-lumus menyelamatkan tanah hak adat (NCR) Orang Asal yang sedang dalam bahaya ekoran pengeluaran geran komunal yang hanya menguntungkan proksi BN.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah, Adrian Banie Lasimbang.

Ia sekaligus membidas tuduhan liar Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kononnya DAP melayan Orang Asal sebagai rakyat kelas kedua, kata Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah, Adrian Banie Lasimbang.

Sebaliknya, menurut Adrian, PBRS lah yang mengeksploitasi Orang Asal di kawasan Pensiangan dengan kegagalannya menyediakan infrastruktur paling asas bagi meningkatkan status sosio-ekonomi penduduk.

“Lebih buruk lagi, Orang Asal di Pensiangan juga sedang kehilangan tanah adat mereka dengan perjanjian berat sebelah yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PBRS,” tegasnya.

Pengerusi DAP Pensiangan itu menambah, penduduk di situ turut mengeluh bahawa PBRS menggunakan taktik ‘kotor’ dengan mengugut  akan menarik balik program kebajikan untuk warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) jika memilih pembangkang pada pilihan raya akan datang.

“Tindakan terdesak PBRS ini langsung tidak demokratik. Kita (DAP) sedia menghadapi PBRS pada pilihan raya nanti,” ujarnya. – Roketkini.com