Berita

Janji tinggal janji? Selepas setahun, cuma 1.5% diserap sebagai pekerja tetap kerajaan

IPOH, 20 FEB: Terdapat lebih 41,000 kakitangan perkhidmatan awam yang dilantik secara kontrak di negara ini. Malah, ada antara mereka telah berkhidmat lebih 10 tahun untuk kerajaan.

Namun, masa depan kakitangan awam lantikan kontrak adalah tidak menentu kerana boleh ditamatkan perkhidmatan pada bila-bila masa sahaja bergantung kepada budi bicara kerajaan.

Justeru, Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar menggesa Putrajaya menyerap golongan itu sebagai pekerja tetap secepat mungkin.

“Kakitangan awam lantikan kontrak ini telah menghabiskan tempoh yang begitu lama bekerja dengan kerajaan.

“Jadi, kerajaan harus memberi perhatian yang serius berhubung hal ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Timbalan Pengerusi DAP Perak itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Belanjawan 2016 telah berjanji akan menyerap semua kakitangan awam kontrak yang berkhidmat lebih dari 15 tahun sebagai pekerja tetap.

Bagaimanapun, jelasnya, selepas setahun berlalu, hanya 173 daripada sejumlah 11,359 kakitangan yang memenuhi syarat itu dilantik sebagai pekerja tetap manakala bakinya masih dalam proses tapisan.

“Saya berpendapat kerajaan sengaja melengah-lengahkan proses pelantikan ini dan tidak menunjukkan komitmen dalam membantu golongan tersebut.

“Kerajaan harus menepati janji dalam Belanjawan 2016 itu. Semua anggota perkhidmatan awam kontrak yang layak harus diserap dijadikan pekerja tetap kerajaan secepat mungkin,” tegasnya. – Roketkini.com