Rencana

Mengenali Lim Kit Siang

Lim Kit Siang teruk menderita kerana perjuangan politiknya. Beliau ditahan tanpa bicara pada 1969 atas tuduhan palsu yang tidak pernah dibuktikan sehingga hari ini. Dan sampai saat ini, kumpulan-kumpulan perkauman termasuk mereka di dalam UMNO masih menuduh beliau sebagai pencetus tragedi 13 Mei walaupun beliau tidak menjejak kakinya di Kuala Lumpur pada hari yang malang itu.

Beliau ditahan sekali lagi tanpa bicara pada 1987, dan semua tuduhan palsu terhadapnya masih gagal dibuktikan sehingga hari ini. Itulah harga yang perlu dibayarnya kerana menjadi seorang pemimpin DAP.

Kerana itu nama Lim Kit Siang dikaitkan dengan perjuangan untuk kebebasan, keadilan dan kesaksamaan di Malaysia. Walaupun pelbagai fitnah dan pembohongan dilemparkan terhadapnya, tetap ramai rakyat Malaysia melihat dirinya sebagai sumber inspirasi. Memang sukar untuk membayangkan betapa seorang insan dapat menahan sengsara tahanan tanpa bicara – dipisahkan dari keluarga dan kenalan, dan terus dicerca dan dikeji oleh penguasa politik yang menjadi musuh – bukan sekali tetapi dua kali dalam hayat perjuangannya.

Tetapi beliau tidak pernah mengaku kalah.

Apabila saya memulakan kerjaya dalam dunia kewartawanan sebagai pemberita pada penghujung tahun 1980-an, nama Lim Kit Siang sudah pun terkenal sebagai seorang pemimpin pembangkang. Pada saat itu, beliau masih terkurung sebagai seorang tahanan politik di Kem Tahanan Kamunting di Perak. Beliau menjadi salah seorang mangsa undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) apabila Dr Mahathir Mohamad melancarkan Operasi Lalang pada Oktober 1987 untuk menangkap musuh-musuh politiknya.

Apabila beliau dibebaskan pada April 1989, saya merupakan seorang pemberita junior yang bekerja tidak sampai setahun untuk sebuah akhbar harian berbahasa Melayu, membuat liputan tentang berita-berita am.

Walaupun saya mempunyai minat terhadap dunia politik, saya terpaksa menunggu giliran untuk membuat liputan tentang hal itu – pada masa itu, membuat liputan hal-ehwal politik atau apa yang kami gelar political beat dikhususkan untuk pemberita kanan. Jadi masa awal saya banyak dipenuhi dengan membuat liputan acara-cara penyampaian cek, isu-isu pihak berkuasa tempatan, dan berita-berita menteri yang “kurang penting”.

Namun saya enggan mengalah. Saya tidak mahu sekadar “menjalankan tugas”. Jadi saya sering mengacau ketua pengarang berita saya meminta beliau mengizinkan saya membuat liputan tentang hal-ehwal kesatuan pekerja. Sekurang-kurangnya ada isu-isu politik di sana.

Pada mulanya beliau menolaknya kerana akhbar kami melihat kesatuan sekerja sebagai sesuatu yang ada kena-mengena dengan politik pembangkang. Tetapi saya – dengan bantuan pujukan daripada rakan-rakan senior dari akhbar jiran – berjaya meyakinkan bos saya bahawa union beat itu bukan sekadar isu pekerja tetapi juga merangkumi hal-ehwal majikan dan Kementerian Sumber Manusia.

Mengenali DAP melalui kewartawanan

Melalui union beat – meliputi  Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), badan induk kesatuan pekerja perkhidmatan awam Cupeacs, Persekutuan Majikan Malaysia, dan Kementerian – saya bersua muka dengan pemimpin parti pembangkang seperti V. David dari DAP, dan Ahmad Nor yang juga menyertai DAP kemudiannya, serta Zainal Rampak yang penah menyertai parti pembangkang dan kerajaan.

Dengan adanya hubungan media bersama para pemimpin ini, ia memberi kelebihan kepada penulisan saya dalam bidang politik – politik kepartian – walaupun tidak semua tulisan saya disiarkan oleh pihak pengarang. Malah seorang bos kanan memberitahu saya: “Kita support government of the day. Jadi kita beri keutamaan kepada pemimpin kerajaan.”

Saya tahu kata-katanya tidak senang didengar tetapi memang tidak ada apa yang saya dapat buat kecuali terus menulis daripada pihak pembangkang, dari semasa ke semasa, walaupun menyedari mungkin tidak akan disiarkan sama sekali.

Oleh kerana saya menulis tentang kesatuan sekerja dan hal-ehwal sumber manusia, dan tentang parti pembangkang, rasanya ketua pengarang berita mula yakin dengan kemampuan saya sehingga berani membenarkan saya membuat liputan yang biasanya dikhaskan untuk wartawan senior.

Sebenarnya bukan hebat sangat tetapi untuk wartawan media arus perdana, membuat liputan terhadap menteri-menteri kanan termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, dianggap berstatus tinggi. Saya tidak pasti sama ada amalan ini masih sama pada hari ini.

Membuat liputan PRU

Dengan itu, saya mula bebas untuk membuat liputan sepanjang pilihanraya umum 1990. PRU itu diadakan selepas negara mengalami kacau-bilau politik yang besar termasuk pembatalan serta pendaftaran semula UMNO yang dimasnuhkan hayatnya oleh mahkamah, pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan beberapa hakim kanan, kelahiran Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razalaeigh Hamzah dan penubuhan barisan pembangkang (dua sebenarnya, iaitu Gagasan Rakyat yang bersifat sekular, dan Angkatan Perpaduan Ummah yang Islamis – kedua-duanya dipimpin oleh Semangat 46).

PRU 1990 yang menemukan saya dengan Lim Kit Siang, walaupun hanya sebagai seorang wartawan daripada media arus perdana yang sepatutnya tidak memberi banyak liputan kepada pembangkang.

Perlu saya akui, dalam pertemuan kali pertama, sewaktu sidang media, saya sebenarnya tidak begitu kagum dengan Kit Siang. Saya melihatnya sebagai seorang serius, garang, dan mungkin seperti tiada humor. Tidak begitu ramah.

Sudah tentu pada masa itu saya tidak terfikir sama sekali bahawa, mengapa perlu beliau ramah dengan saya yang mewakili akhbar yang hanya menyiarkan hal-hal yang buruk sahaja tentang beliau, partinya dan pihak pembangkang?

Namun, apa yang saya nyatakan ini berdasarkan perbandingan yang saya buat dengan rakan-rakan beliau pada masa itu – Ku Li yang dilihat berhati-hati tetapi penuh gaya, Fadzil Noor sebagai pemimpin PAS yang serius namun nampak riang, dan Syed Husin Ali pemimpin Parti Rakyat Malaysia yang sentiasa tersenyum tapi bersikap skeptik.

Itulah pandangan saya terhadap pembangkang dan para pemimpinnya pada tahun 1990; dari sudut pandang seorang pemberita junior dalam usia awal 20-an. Jadi apa yang telah berubah?

Menyedari perubahan politik

Dua puluh tahun kemudian, keadaan yang buruk menjadi lebih teruk. Apabila Mahathir selepas berkuasa selama 22 tahun meletak jawatan pada 2003, ia membuka jalan kepada calon pilihan beliau sendiri, Abdullah Ahmad Badawi. Perdana menteri yang baru itu amat popular dengan tawaran reformasinya, namun beliau sendiri kecut perut dan mungkir segala janjinya. Malah, Mahathir sendiri mula menyerang beliau.

Bukan itu sahaja, kerana serangan Mahathir turut membuka pekung baru di dalam UMNO – termasuk mereka yang takutkan Mahathir pada masa dulu – ia kini menjadi amat lantang. Golongan yang mahu merebut jawatan dalam UMNO mula menubuhkan kumpulan-kumpulan NGO mereka, menjerit dan menuntut lebih banyak lagi “hak Melayu”.

Ini menjadikan UMNO condong ke politik perkauman kanan. Pada 2005, Ketua Pemuda UMNO pada masa itu Hishammuddin Hussein telah menghunus keris sewaktu perhimpunan agung parti tersebut. Setahun kemudian di perhimpunan yang sama seorang perwakilan bersuara tegas: “Datuk Hisham sudah hunus keris, tayang keris, cium keris. Kita nak tanya bila Datuk Hisham nak guna keris?”.[i] Aksi tersebut sahaja sudah mula membuka mata rakyat Malaysia, terutama pengundi di kawasan bandar.

Ia membawa kepada beberapa perhimpunan besar seperti BERSIH yang menuntut pilihanraya yang bersih, dan perhimpunan Hindraf yang membangkitkan penderitaan kaum pekerja di kalangan masyarakat India Malaysia. Pada tahun 2007, berpuluh ribu orang menyertai setiap perhimpunan tersebut.

Beberapa bulan kemudian pada Mac 2008, pengundi pengundi membuat keputusan besar. Barisan Nasional bukan sahaja hilang majoriti dua pertiganya di Parlimen, ia juga kehilangan kerajaan negeri di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Perak, serta gagal merampas Kelantan daripada PAS. Lim Kit Siang menggambarkan fenomena itu sebagai satu tsunami politik.

Walaupun saya memang terus bertemu dengan Kit Siang dari semasa ke semasa di antara tahun-tahun 1990 dan 2008 di Parlimen dan di forum-forum, tsunami politik itu yang mendekatkan saya dengan pemimpin yang tidak pernah mengaku kalah ini.

Ketika tsunami politik 2008 itu, saya masih lagi bersama dengan media arus perdana. Tetapi selepas keputusan PRU tersebut saya menganggap bahawa rakyat sudah membuat keputusan mereka, dan dengan itu, saya juga perlu melakukan sesuatu yang saya rasa tepat dalam hidup saya. Saya berhenti kerja dan mencari sesuatu yang lebih bermakna. Sepanjang setahun ini saya melalui beberapa kerja sehinggalah bertapak dengan DAP, melakukan tugas itu dan ini.

Menyelami isi hati pejuang

Sejak itu saya semakin rapat dengan Lim Kit Siang walaupun ia hanya di peringkat perbincangan politik. Beliau tidak mudah mendedahkan hal-hal peribadinya, jadi sukar untuk mendalami apa yang tersirat di hati beliau. Tetapi bagi saya, sekadar mengetahui pendirian dan pandangan politik beliau adalah mencukupi.

Saya perlu akui di sini bahawa walaupun saya bersetuju dengan kebanyakan pandangan beliau, ada beberapa hal yang kami berbeza pendapat. Namun saya anggap perbezaan ini hanyalah hal-hal yang kecil sahaja. Ia memang fitrah. Satu perkara penting tentang beliau ialah kesanggupannya untuk mendengar pandangan, termasuk suara anak muda yang berusia awal 20-an. Itu sesuatu yang jarang dilihat khususnya di kalangan pemimpin besar atau veteran.

Kini saya juga sedar pemimpin yang saya tidak begitu kagum pada tahun 1990 dahulu sebenarnya adalah seorang insan yang peramah dan kadang-kala lucu yang sentiasa selesa dengan keadaan sekelilingnya. Siapa sangka beliau peminat Pokemon!

Bayangkan diri beliau yang telah ditahan tanpa bicara sebanyak dua kali, dan masih difitnah tanpa henti oleh golongan politik yang menganggap diri mereka suci. Bayangkan Malaysia hari ini yang lebih teruk keadaannya berbanding zaman kezaliman Mahathir dahulu. Bayangkan Mahathir hari ini juga amat marah dengan pemerintahan Najib.

Ya hari ini rakyat Malaysia menderita di bawah pemerintahan Najib Razak yang mengambil alih tampuk kuasa daripada Abdullah pada 2009. Bergelumang dengan pelbagai skandal, dan semakin berkembang kumpulan-kumpulan rasis yang menjijikkan, Malaysia kini benar-benar berada di persimpangan jalan.

Mengejar Impian Malaysia

Namun Lim Kit Siang terus mengejar Impian Malaysia tanpa takut atau memilih bulu. Beliau menyatakan:

“Bukan mudah untuk DAP untuk bertahan atas prinsip asas, komitmen dan wawasannya untuk menjadi parti Malaysia pimpinan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama, khususnya apabila propagandis UMNO bekerja siang dan malam sejak penubuhan DAP dengan niat memburukkan DAP sebagai parti anti-Melayu dan anti-Islam. Hidup ini akan menjadi lebih mudah jika DAP awal-awal lagi menyerah kepada propagandis UMNO dan membiarkan DAP hanya menjadi parti politik untuk orang bukan-Melayu sahaja.

“Tetapi DAP tidak akan membiarkan dirinya terpisah dari prinsip asas, komitmen dan wawasannya untuk menjadi gerakan politik Malaysia, kerana kita tidak pernah berniat mahu sekadar menjadi parti orang Cina atau kaum bukan-Melayu, atau sekadar berkampung di beberapa kawasan bukan-Melayu di Semenanjung Malaysia.”[ii]

Kini Lim Kit Siang telah aktif dalam politik selama lebih 50 tahun, dan masih kekal aktif, mempromosikan idea Impian Malaysia, satu inisiatif untuk menyampai, mengilham, mendidik, melibat urus dan memberdayakan rakyat Malaysia.

Seperti kata beliau sendiri:

“Impian Malaysia membayangkan sebuah masyarakat yang majmuk di mana setiap warga bersatu, bangkit melampaui perbezaan etnik, agama, budaya dan bahasa, di mana titik persamaan mengikat mereka sebagai satu warga, melangkaui perbezaan-perbezaan tersebut yang memecahbelahkan mereka.”[iii]

Sememangnya beliau adalah legenda yang terus berjuang. Malah lebih dari itu, perjuangannya untuk kebebasan, keadilan dan kesaksamaan telah memberi inspirasi kepada jutaan anak muda sepanjang karier politiknya. Dan beliau terus menjadi inspirasi kepada generasi muda hari ini.

Selamat hari lahir ke-76, saudara Kit Siang.

*Tulisan ini adalah olahan semula daripada catatan Pengenalan: Kembara Harapan untuk buku yang bertajuk Inspirasi sempena hari kelahiran Lim Kit Siang tahun lalu

 

[i] Wan Hamidi Hamid (17 November 2006) At the Umno General Assembly: Will it boil down to ‘them versus us’? New Straits Times, p.7
[ii] Lim Kit Siang (19 January 2016) UMNO leadership should consider Onn’s 66-year proposal that UMNO open its membership to non-Malays to defend and save democracy in Malaysia, blog.limkitsiang.com, http://blog.limkitsiang.com/2016/01/19/umno-leadership-should-consider-onns-66-year-proposal-that-umno-open-its-membership-to-non-malays-to-defend-and-save-democracy-in-malaysia/
[iii] Lim Kit Siang (8 July 2013) Malaysian Dream Agent Recruitment, blog.limkitsiang.com, http://blog.limkitsiang.com/2013/07/08/malaysian-dream-agent-recruitment/