Berita

Skandal forex: Kit Siang tawar diri sertai roadshow

GELANG PATAH, 20 FEB: Selepas menyatakan kesediaan untuk menyertai pasukan petugas khas menyiasat skandal pertukaran asing (forex) Bank Negara, Lim Kit Siang hari ini menawarkan diri pula untuk berucap dalam siri jelajah penerangan mengenainya.

Ketua Parlimen DAP itu merujuk pengumuman Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang memaklumkan bahawa jentera penerangan kerajaan akan digerakkan ke seluruh negara bermula Mac bagi menjelaskan keputusan Kabinet menyiasat skandal berkenaan.

“Saya di sini ingin membuat satu lagi tawaran kepada kepimpinan tertinggi UMNO-BN – saya secara sukarela akan menerangkan mengenai keputusan kabinet menyiasat skandal lebih dua dekad itu dalam roadshow yang akan diadakan mereka di seluruh negara.

“Annuar Musa perlu memaklumkan kepada saya dalam tempoh 48 jam sama ada saya perlu menjadual semula program saya bermula 25 Februari jika mahu saya berucap di majlis pelancaran roadshow berkenaan Sabtu ini,” katanya dalam kenyataan.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah pada 1994 di Parlimen, sewaktu menjadi ketua pembangkang, berkali-kali menegaskan bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat skandal forex itu.

Beliau malah mengulangi desakan yang sama pada 2004 apabila Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang merupakan watak penting di Bank Negara ketika skandal itu berlangsung, dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam pada itu, Kit Siang turut mendesak agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman supaya memberi maklum balas mengenai kesediaannya untuk menyertai pasukan petugas khas menyiasat skandal forex terbabit, dengan syarat siasatan itu diperluaskan.

Desakan itu dibuat ekoran Azalina yang sebelum ini mengajak Kit Siang menyertai pasukan berkenaan sehingga kini masih berdiam diri walaupun pemimpin veteran DAP itu sudah menyatakan kesediaannya.

“Saya bersedia untuk menyertai siasatan berkenaan, tetapi skop siasatan tersebut harus diperluaskan dengan siasatan yang sama turut harus dilakukan terhadap skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) dan 1MDB,” ujarnya.

Malah beliau berharap, menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang itu melantik beliau sebagai salah seorang daripada ahli pasukan petugas khas berkenaan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu nanti. – Roketkini.com