Berita

Dakwa DAP puas hati operasi PERMATA, pembantu Rosmah ‘hilang ingatan’?

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Pembantu khas kepada isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor nampaknya ‘hilang ingatan’ apabila mendakwa wakil-wakil DAP yang melawat PERMATA tahun lalu berpuas hati dengan keseluruhan operasi badan itu.

Sedangkan, DAP berulang kali menegaskan bahawa program PERMATA perlu dijalankan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berbanding Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata Rizal seolah-olah lupa dengan cadangannya semasa perjumpaan antara wakil DAP dengan wakil PERMATA yang diadakan pada Oktober tahun lalu.

Ketika itu, beliau menggesa agar program PERMATA dimasukkan di bawah kementerian supaya ia dapat dijalankan secara lebih senada dengan program-program lain.

“Saya tidak nampak sebab mengapa kita perlu satu agensi berasingan bawah JPM seperti PERMATA untuk pendidikan awal kanak-kanak.

“Mengeluarkan PERMATA dari JPM juga akan mengurangkan saiz JPM yang kini terlalu besar selepas Perdana Menteri Najib Razak memegang tampuk kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gesaan itu, kata Bee Yin, adalah selari dengan kenyataan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan semalam bahawa peruntukan PERMATA perlu diagihkan semula kepada kementerian terlibat.

Justeru, beliau berkata tidak timbul soal cadangan oleh Pakatan Harapan semalam tidak selari dengan gesaan yang dibuat DAP sebelum ini seperti dakwaan Rizal.

Jelasnya, cadangan seumpama itu akan memastikan wang cukai yang dibayar rakyat digunakan secara lebih efisien dengan strategi menyeluruh dalam isu pendidikan awal kanak-kanak. – Roketkini.com