Rencana

“Mengapa DAP menjadi pilihan hati saya…”

Tidak lekang DAP diserang dan difitnah. Sudah menjadi lumrah, meskipun DAP mengemukakan fakta dalam hujahnya, ia sering sahaja mengguris perasaan sesetengah orang. Lihat sahaja di Pulau Pinang, walaupun prestasi kerajaan Pakatan Harapan jauh lebih baik dari kerajaan BN terdahulu, DAP terus menerus diserang tanpa belas. Pemimpin BN seringkali merasa tercabar dengan pembongkaran isu melibatkan hak dan tanggungjawab yang mereka abaikan.

Di media sosial, pelbagai isu rancak dibahas, namun umpama tiada penyelesaian atau pendapat yang membawa titik persamaan. Ia malah berakhir dengan serangan peribadi dan ugutan. Tohmahan berterusan dengan dakwaan basi tentera cyber pro-UMNO sengaja dipanjangkan dengan pelbagai alasan dangkal.

Saya tidak bermaksud mendabik dada dengan menganggap DAP sebagai yang terbaik dan tulen tetapi di dalam kumpulan pilihan parti-parti di dalam Malaysia, DAP antara parti pilihan terbaik!

DAP sering dilabel sebagai ‘parti Cina’ tetapi mereka pejam mata terhadap kemasukan pelbagai kaum ke dalam parti ini.

DAP ditohmah sebagai parti perkauman, hakikatnya dasar perjuangan DAP tidak meletakkan kaum tertentu sebagai keutamaan.

DAP dimomok sebagai ‘parti Komunis’ sedangkan ideologi DAP adalah Sosial Demokrasi yang menutamakan keadilan, kebebasan dan solidariti. Jika ideologi DAP ialah komunisme, sudah tentu parti ini tidak akan dibenarkan berada dalam sistem Demokrasi Berparlimen negara ini.

DAP juga dituduh mempunyai agenda tersembunyi kononnya mahu merampas hak-hak orang asal khususnya di Sabah dan Sarawak, walhal ketika usul penurunan taraf Sabah dan Sarawak. Namun adakah mereka sedar ahli Parlimen DAP lah yang telah berdiri dan membantah usul tersebut. Di manakah pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak ketika itu? Adakah mereka sedar, pemimpin-pemimpin DAP juga terdiri dari kalangan bumiputera Orang Asal Anak Negeri Sabah dan Sarawak?

Dakwaan jahat anti-Islam yang dimainkan mereka juga tersasar dari hakikat sebenar bahawa DAP telah banyak kali menyatakan komitmennya terhadap Perlembagaan Persekutuan yang menganggat Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Jika DAP dilabel anti Islam, lalu adakah saya seorang Islam yang anti-Islam kerana menyokong dan menjadi ahli DAP?

Sistem demokrasi seolah-olah hanya di atas kertas. Kebebasan bersuara bukan lagi dikawal oleh undang-undang tetapi oleh emosi sesetengah pihak yang merasa berhak. Sungguh mengecewakan bila mana seseorang individu membiarkan pilihan untuk membuat keputusan tidak diberikan hak sepenuhnya kerana ketakutan dan andaian yang dibuat-buat.

Saya percaya, dengan perkembangan terkini, jentera DAP akan terus maju dan berjuang bersama rakyat yang mahukan perubahan. DAP telah membuktikan keupayaannya membangunkan infrastruktur dan modal insan dalam program-programnya di Sabah dan Sarawak sebelum ini.

Musuh kita bukan DAP atau mana-mana bangsa. Musuh yang harus kita perangi adalah rasuah dan amalan kleptokrasi. Gunakan sedikit peluang walau hanya di atas kertas untuk membuat perubahan. Mari kita Ubah demi masa hadapan. – Roketkini.com

*Fadilah Michael adalah Setiausaha Publisiti DAP Pensiangan