Berita

‘Pengundi hantu’ bersepah di DUN Nilai, mungkinkah MCA terlibat?

SEREMBAN,  21 FEB: Apa yang mungkin terlintas di fikiran anda apabila sebuah rumah kosong dan uzur rupa-rupanya menempatkan 14 nama pengundi dengan alamat tersebut.

Apa pula pandangan anda jika rumah ibu bapa anda sendiri rupa-rupanya menjadi alamat kepada sembilan orang yang tidak dikenali?

Mungkin anda juga akan terperanjat jika semak samun belakang rumah anda menjadi alamat kepada 15 orang yang tidak pernah anda ketahui?

Apapun, itulah yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Nilai, di mana sebanyak lebih 787 nama meragukan telah dikenalpasti melalui pendaftaran alamat pengundi mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri Nilai, Arul Kumar Jambunathan berkata, nama-nama meragukan ini telah dikenalpasti didaftarkan pada bulan Oktober, November dan Disember 2016 yang dibuat menggunakan alamat yang tidak diduduki oleh mereka.

“Pihak saya telah pun membuat bantahan terhadap nama-nama meragukan ini di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Seremban dua hari lalu,” katanya kepada Roketkini.

Apa yang menimbulkan tanda tanya kata Arul ialah terdapat sekitar tujuh dan lapan premis yang didaftarkan nama-nama meragukan adalah premis pemimpin MCA.

Tambah meragukan apabila terdapat 10 hingga 15 orang yang didaftarkan di premis pemimpin MCA itu terdiri dari nama-nama Melayu dan India.

“Saya cabar pemimpin MCA di DUN Nilai ini supaya buat laporan polis dan bantahan kepada SPR kerana alamat mereka telah digunakan.

“Jadi, ini telah datangkan persoalan adakah MCA terlibat dalam kerja kotor ini? You tak buat (bantahan), orang boleh syak,” kata Setiausaha Organisasi DAP Negeri Sembilan itu..

Namun, dedah beliau, sehingga hari terakhir untuk membuat bantahan kepada SPR semalam, tidak ada seorang pun pemimpin MCA yang hadir untuk membuat bantahan.

“Seolah-olah mereka (pemimpin MCA) setuju orang lain menggunakan alamat mereka untuk daftar diri sebagai pengundi.

“Tindakan berdiam diri tanpa membuat bantahan oleh pemimpin MCA menunjukkan seolah-olah MCA yang membuat pendaftaran ‘Pengundi Hantu’ ini?” soalnya lagi.

Menurut Arul, sebelum ini pihaknya pernah membuat bantahan terhadap 20 nama pengundi meragukan pada suku ketiga tahun 2016 dan bantahan itu berjaya apabila pihak yang dibantah gagal membuktikan mereka duduk di alamat yang didaftarkan.

Dalam pendedahannya baru-baru ini di Kampung Baru Nilai, terdapat lot tanah kosong turut menjadi ‘mangsa’ pendaftaran nama pengundi meragukan.

Malah di kampung yang sama, terdapat empat buah rumah kosong turut dikenalpasti memiliki pendaftaran bagi 26 nama pengundi.

Setakat ini, sebanyak 787 ‘pengundi hantu’ telah dikenalpasti di DUN Nilai manakala keseluruhan Parlimen Seremban pula mencatatkan jumlah 1,047 nama meragukan. –Roketkini.com