Berita

PERMATA masih belum dedah akaun

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Pihak agensi PERMATA masih belum mendedahkan akaunnya kepada wakil DAP sehingga hari ini seperti yang telah dipersetujuinya pada Oktober tahun lalu.

Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata dalam perjumpaan lalu, PERMATA meminta wakil DAP menulis surat kepada Ketua Audit Negara untuk mendapatkan akaun berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Audit Negara menyatakan akaun itu telah pun diserahkan semula kepada PERMATA, bermakna ia hanya boleh didapatkan dari agensi tersebut.

“Dan apabila kami menulis surat sekali lagi kepada PERMATA bagi meminta akaun itu, pihaknya pada 10 Januari lalu membalas tidak ada sebab untuk mereka mendedahkan akaun berkenaan.

“Nampaknya, kami ‘disepak’ ke sana ke mari oleh PERMATA. Mungkin Datuk Rizal Mansor boleh menerangkan hal ini?” ujarnya dalam satu kenyataan.

Bee Yin berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pembantu khas isteri Perdana Menteri itu bahawa DAP berpuas hati dengan keseluruhan operasi PERMATA selepas lawatan ke salah satu pusat agensi itu di ibu kota tahun lalu.

Selain Bee Yin, lawatan itu turut disertai Ahli Parlimen Serdang Dr. Ong Kian Ming, Adun Subang Jaya Hannah Yeoh dan Adun Pulau Tikus Yap Soo Huey.

Mereka kemudiannya menghadiri sesi taklimat dan pembentangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Program Permata, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod dan Perunding Kanan Program Permata, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahbudin.

Namun, selepas kunjungan berkenaan, DAP masih berpendirian bahawa program PERMATA lebih sesuai diletakkan bawah tanggungjawab kementerian berbanding Jabatan Perdana Menteri (JPM) seperti hari ini.

“Lebih baik jika Permata menggunakan dana daripada kementerian dan bukan JPM. Dengan cara itu, ketelusan dan kebertanggungjawaban akan lebih terjamin,” jelasnya. – Roketkini.com