Berita

Kerajaan digesa lebih telus dan serius tangani jenayah senjata api

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Kerajaan perlu serius menangani kes jenayah senjata api yang semakin menjadi-jadi di negara ini sehingga membangkitkan kebimbangan awam.

Gesaan ini dibuat Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching, ketika mengulas kejadian ahli perniagaan wanita mati ditembak dua lelaki bermotorsikal di Jalan Bukit Gambir dekat Taman Pekaka, Pulau Pinang pada jam 5.45 petang semalam.

Katanya, kerajaan juga dilihat tidak telus dalam mendedahkan butiran data mengenai kes jenayah melibatkan senjata api yang berlaku di negara ini apabila wujudnya percanggahan maklumat berhubung perkara itu.

“Mengikut data yang didedahkan kerajaan sebelum ini, terdapat 249 kes di antara tahun 2014 dan September 2106 membabitkan penggunaan senjata api dengan 105 melibatkan kes bunuh, 117 kes percubaan membunuh dan 27 kes rompakan bersenjata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga kini, katanya, menurut jawapan balas oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen itu, hanya 122 daripada 249 atau 49 peratus kes telah diselesaikan.

Bagaimanapun, pada 8 November tahun lalu, katanya, Zahid menyatakan bahawa pada sembilan bulan pertama 2016, hanya 27 kes bunuh melibatkan penggunaan senjata api dicatatkan, manakala 27 kes lain membabitkan percubaan membunuh dan 31 kes lagi membabitkan rompakan bersenjata.

“Jika 31 kes rompakan bersenjata dilaporkan dalam tempoh Januari hingga September 2016, bagaimana mungkin hanya 27 kes rompakan bersenjata berlaku antara 2014 dan September 2016, seperti didedahkan Zahid dalam jawapan balasnya sebelum ini?

“Dalam tempoh singkat seminggu, Zahid yang merupakan Menteri Dalam Negeri memberikan jawapan yang bercanggah, sekaligus menunjukkan kurangnya ketelusan kerajaan dalam mendedahkan statistik jenayah,” ujarnya.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai menambah, berdasarkan hanya data dalam tempoh Januari hingga September 2016, terdapat 82 kes jenayah melibatkan senjata api, bersamaan sembilan kes dalam tempoh sebulan.

“Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara perlu jelaskan bagaimana penjenayah-penjenayah ini boleh memilik senjata api,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kejadian tembak itu, Nie Ching berkata, hakikat bahawa penjenayah terbabit berani melakukan jenayah secara terang-terangan membuktikan kegagalan pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka.

“Jika pegawai polis kita sendiri tidak mampu mencegah perbuatan yang menganggu keamanan kita, apa lagi yang kita boleh harapakan mengenai keselamatan rakyat negara ini, dan keamanan serta keselamatan masyarakat,” ujarnya. – Roketkini.com