Berita

Dego Ride bantu golongan berpendapatan rendah, tak wajar diharamkan

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Perkhidmatan ‘teksi motosikal’, Dego Ride dapat membantu meningkatkan pendapatan golongan bawahan, justeru tidak patut diharamkan oleh kerajaan tanpa sebarang alasan kukuh.

Malah, Adun Kampung Tunku, Lau Weng San berkata jika dirancang dengan baik, Dego Ride berpotensi membantu golongan ‘mat rempit’ untuk menjana wang pendapatan, sekaligus menghindarkan mereka dari terlibat dalam anasir haram.

“Selain itu, perkhidmatan Dego Ride juga memberi persaingan yang sihat terhadap perkhidmatan Uber dan Grab Car, selain menjadi pelengkap kepada sistem pengangkutan awam yang masih serba kekurangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mengharamkan perkhidmatan teksi motosikal itu kononnya atas faktor keselamatan.

Menurut Weng San, kerajaan tidak harus tergesa-gesa menolak permohonan Dego Ride sebaliknya mesti membuat penelitian secara menyeluruh terlebih dahulu.

“Kerajaan harus ingat bahawa selain daripada kawalselia kerajaan terhadap Dego Ride, ianya masih bergantung kepada sambutan pasaran terhadap perkhidmatannya.

“Jika Dego Ride mendedahkan pelanggan kepada risiko yang tinggi, bukan saja kerajaan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadapnya, malah pelanggan dan pasaran pun akan menolak perkhidmatan Dego Ride,” ujarnya.

Dalam pada itu, Weng San turut mempersoalkan sama ada keputusan Kabinet itu sebulat suara, sambil merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, yang meminta kerajaan tidak terburu-buru mengharamkan Dego Ride.

“Percanggahan pendapat secara terbuka antara kedua-duanya sekali lagi melunturkan keyakinan orang ramai terhadap keberkesanan Kabinet dalam membuat keputusan mesyuarat dan mentadbir kerajaan.

“Ia juga menimbulkan masalah terhadap pembahagian tugas tidak spesifik di kalangan 35 menteri kabinet akibat bilangannya yang terlampau besar,” katanya. – Roketkini.com