Berita

Gimik van jenazah malukan institusi masjid, Jamal wajar minta ampun dari Sultan

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Entah apa yang difikirkan Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang telah memalukan institusi masjid apabila menggunakan van jenazah demi kepentingan politiknya baru-baru ini.

Ketua Kumpulan Baju Merah tersebut justeru disaran supaya meminta ampun daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, kata Bendahari Sosialis Muda DAP (DAPSY) Selangor, Muhammad Shakir Ameer.

“Jamal patut meminta ampun daripada Tuanku Sultan kerana sikapnya itu juga menghina Tuanku Sultan selaku Ketua Agama Islam negeri Selangor.

Jika dia gagal membuktikan dirinya mampu menjadi pembangkang yang berkesan di Selangor, setidaknya Jamal harus berusaha menjadi rakyat yang menghormati Sultannya,” ujar Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam itu dalam satu kenyataan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini dilaporkan tidak berkenan kenderaan jenazah disalahgunakan dengan disewa untuk membuat demonstrasi.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani, baginda bertitah kenderaan itu hendaklah digunakan bagi urusan jenazah sahaja.

Tambah Shakir, kemurkaan Sultan itu pastinya mewakili seluruh rakyat Selangor yang jelik dengan aksi politik murahan Jamal dan UMNO Selangor.

Lebih-lebih lagi, Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar sebelum ini turut mempertahankan gimik melampau yang ditunjukkan Jamal.

“Noh Omar juga harus meminta ampun daripada Tuanku Sultan. Amat memalukan bagi seorang Menteri Persekutuan mempertahankan sikap terlampau seorang ahli UMNO tanpa memikirkan implikasinya.

“Jelas, UMNO bukan saja tidak relevan sebagai kerajaan di Selangor malah juga tidak berkeupayaan sebagai pembangkang berkesan,” tegasnya. – Roketkini.com