Berita

Rakyat Malaysia dinasihat tidak mengunjungi Korea Utara buat masa ini

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Berikutan ketegangan diplomatik antara kerajaan Malaysia dan Korea Utara, DAP menggesa Kementerian Luar Negara agar mengingatkan rakyat negara ini supaya tidak mengunjungi negara itu buat sementara waktu.

Gesaan Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng ini dibuat berikutan pertikaian kedua-dua negara berhubung kes bunuh melibatkan Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) baru-baru ini.

Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut turut menarik perhatian mengenai laporan akhbar The Star pada 2005 berhubung kejadian di mana empat wanita warga negara ini hilang disyaki diculik pihak Korea Utara dan kali terakhir dilaporkan dilihat di Pyongyang pada 1978.

“Tugas terpenting Menteri Luar Negara buat masa sekarang ialah untuk memastikan tidak ada mana-mana warga Malaysia yang diculik atau hilang sementara siasatan ke atas pembunuhan Kim Jong-nam sedang berjalan.

“Kerajaan Malaysia mesti mengambil segala langkah perlu untuk mengelak sebarang tindak balas yang tidak diingini oleh pihak berkuasa Korea Utara yang boleh menjejaskan keamanan negara dan keselamatan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siasatan ketika ini sedang dijalankan oleh kerajaan Malaysia, dan setakat ini, polis telah mengenal pasti seramai lapan rakyat Korea Utara disyaki mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan tersebut.

Malaysia juga telah menolak permintaan negara terbabit agar mayat Kim Jong-nam, yang dipercayai mati ekoran diracun, diserahkan kepada kedutaannya sambil menegaskan bahawa ia hanya akan diserahkan kepada keluarganya.

Duta Korea Utara ke Malaysia yang telah di arah pulang, Kang Chol dalam sidang akhbar di ibu kota sebelum ini berkata, tidak yakin dengan siasatan yang dilakukan pihak berkuasa negara ini dan menimbulkan kemungkinan campur tangan lain di sebalik siasatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kenyataan duta tersebut sebagai biadap dan menegaskan bahawa Malaysia adalah negara berdaulat dan tidak menjadi ‘kuda tunggangan’ kepada mana-mana negara. – Roketkini.com