Berita

Dego Ride: Ugutan menteri BN zalim, majoriti pemandu berpendapatan rendah

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Tidakkah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tong Lai sedar bahawa majoriti pemandu perkhidmatan Dego Ride adalah golongan berpendapatan rendah yang menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama?

Justeru, ancaman menteri BN itu untuk merampas motosikal milik pemandu-pemandu Dego adalah perbuatan zalim dan tidak berasas sama sekali, kata Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.

Menurutnya, rampasan itu bukan saja menjejaskan sumber pendapatan melalui Dego, tetapi juga memberi kesan kepada keupayaan mereka mendapat kerja di tempat lain.

“Ia kerana mereka memerlukan motosikal sebagai pengangkutan ke tempat kerja, selain itu peluang pekerjaan juga mewajibkan memiliki kenderaan sendiri,” katanya hari ini.

Tegas Rajiv, Liow sepatutnya memberi tumpuan untuk meningkatkan keselamatan penunggang motosikal secara keseluruhan daripada mengugut mahu merampas motosikal pemandu Dego.

Lebih-lebih lagi, jelasnya, kabinet masih belum memberi kata putus berhubung pengharaman Dego Ride, seperti yang dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri baru-baru ini.

“Bukankah ini lebih baik daripada memburu 6000 pemandu Dego yang tidak bersalah dan merampas motosikal mereka?

“Sudah sampai masanya Liow berhenti jadi hipokrit. Beliau perlu mengambil berat tentang keselamatan penunggang motosikal dan mengambil tindakan untuk mengatasi faktor sebenar punca kemalangan motosikal yang tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adun Kampung Tunku, Lau Weng San berpendapat Dego Ride mampu membantu meningkatkan pendapatan golongan bawahan dan tidak patut diharamkan oleh kerajaan tanpa sebarang alasan kukuh.

“Selain itu, perkhidmatan Dego Ride juga memberi persaingan yang sihat terhadap perkhidmatan Uber dan Grab Car, selain menjadi pelengkap kepada sistem pengangkutan awam yang masih serba kekurangan,” katanya.

Menurut Weng San, kerajaan tidak harus tergesa-gesa menolak permohonan Dego Ride sebaliknya mesti membuat penelitian secara menyeluruh terlebih dahulu.

“Kerajaan harus ingat bahawa selain daripada kawalselia kerajaan terhadap Dego Ride, ianya masih bergantung kepada sambutan pasaran terhadap perkhidmatannya.

“Jika Dego Ride mendedahkan pelanggan kepada risiko yang tinggi, bukan saja kerajaan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadapnya, malah pelanggan dan pasaran pun akan menolak perkhidmatan Dego Ride,” ujarnya. – Roketkini.com