Berita

Mana Pemuda BN dapat duit beri petrol percuma?

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Dari mana Pemuda BN mendapatkan wang untuk membiayai program petrol percuma mereka selama 12 bulan kepada 117,000 penunggang motosikal di Wilayah Persekutuan seperti yang diumumkan baru-baru ini?

Persoalan ini ditimbulkan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang berkata, jika RM5 sebulan diperuntukkan kepada 117,000 penunggang motor, ia akan menelan belanja sekurang-kurangnya lebih RM7 juta.

“Adakah pemuda BN sudah kaya raya, Jho Low yang mendanai program ini?” soalnya.

Menurut Lip Eng, gimik petrol percuma ini tidak lain merupakan isyarat bahawa Pilihanraya Umum ke-14 semakin hampir.

“Kalau benar mereka begitu simpati dengan beban yang ditanggung penunggang motosikal, pemuda BN sepatutnya mengadakan protes setiap bulan sehinggalah pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak menurunkan harga petrol,” katanya..

Beliau juga memberi amaran kepada BN supaya tidak menggunakan wang pembayar cukai melalui peruntukan kerajaan untuk program petrol percuma ini.

“Laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan dibuat jika mereka tidak boleh membuktikan bahawa mereka menggunakan dana mereka sendiri,” tegas beliau.

Ujarnya, sebelum Pemuda BN menjalankan program sebegini, mereka harus bertanya ke mana perginya peruntukan RM1 juta setahun bagi setiap kawasan parlimen khususnya di kerusi-kerusi yang dimenangi pembangkang.

Ini kerana tidak ada sesiapa pun dari kalangan ahli-ahli parlimen PKR, Amanah dan DAP yang telah menerima walau satu sen pun daripada peruntukan tersebut.

“Tak tahulah kalau ada ahli parlimen PAS yang terima,” ujarnya. –Roketkini.com