Berita

Kerajaan P.Pinang akan haramkan semua jenis ‘mesin judi’ selepas 2018

GEORGE TOWN, 27 FEB: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil keputusan untuk mengharamkan penggunaan semua mesin simulator di negeri ini selepas tahun 2018.

Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, keputusan ini dibuat berikutan aduan penduduk tempatan bahawa mesin simulator disalahgunakan untuk perjudian wang dan gangguan ekoran operasi mesin simulator dari larut malam sehingga awal pagi.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat exco baru-baru ini berikutan kebimbangan terhadap lambakan mesin itu dan peningkatan masalah sosial.

Kata beliau, kerajaan negeri tidak akan membenarkan lesen mesin simulator diperbaharui untuk rumah kedai di Pulau Pinang mulai 2018.

Ini bermakna, mesin simulator di kompleks beli-belah, pasaraya dan hotel akan dibenarkan beroperasi setahun lagi sehingga akhir 2018.

“Pada tahun ini, mesin simulator akan hanya dibenar beroperasi di hotel, pusat beli-belah dan pasar raya.

“Tetapi selepas 2018, Pulau Pinang tidak akan lagi mempunyai sebarang mesin simulator,” katanya.

Keputusan tersebut kata Guan Eng akan dimaklumkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Guan Eng turut menegaskan, kerajaan negeri tidak mengeluarkan lesen mesin judi kerana ia adalah di bawah bidangkuasa Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Dialog Anak-anak Muda Bersama Pemimpin di Taman Rimba Cerok Tokun, Bukit Mertajam semalam. –Roketkini.com