Berita

Siapakah penderma murah hati sumbang petrol percuma itu soal Lip Eng

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor digesa mendedahkan butir badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ‘menderma’ bagi program petrol percuma untuk penunggang motosikal anjuran Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng membuat gesaan itu dengan memberi tempoh 48 jam bermula semalam untuk Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan menjelaskan mengenai perkara itu atau laporan rasmi akan dibuat terhadap pihak berwajib.

“Ini penting kerana para penderma yang menyokong NGO itu mempunyai hak untuk tahu kenapa sumbangan mereka telah bertukar tangan kepada BN tanpa sebarang balasan.

“Malah, rakyat juga berhak tahu siapakah NGO yang begitu baik hati sehingga enggan dikenali setelah menderma kepada BN, meskipun usaha mereka tidak melibatkan sebarang unsur rasuah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ku Nan seperti yang dilaporkan media Sabtu lalu menafikan program petrol percuma itu ditaja menggunakan dana kerajaan sebaliknya menyatakan bahawa ia ditanggung sepenuhnya oleh NGO. Dia bagaimanapun tidak mendedahkan nama NGO berkenaan.

Menurut Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, adalah sukar untuk mempercayai program petrol percuma seumpama itu didanai NGO berkenaan tanpa sebarang syarat atau balasan.

“Ini kerana dia (Ku Nan) tidak berani untuk mendedahkan apakah nama NGO terbabit,” ujarnya.

“Ku Nan boleh sahaja mendedahkan identiti NGO terbabit, dan kumpulan tersebut boleh tampil di program pertrol percuma bersama-sama pemimpin BN di stesen petrol sekiranya acara kebajikan ini benar-benar berunsur ‘nothing to hide’”.

Justeru, menurut Lip Eng, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar memperhalusi ‘derma’ tanpa syarat yang diberikan NGO berkenaan kepada pihak BN.

“Mungkinkah ada mana-mana tanah atau kontrak kerajaan yang telah diberikan kepada NGO yang didakwa Ku Nan, telah menderma kepada program petrol percuma setahun BN untuk penunggang motosikal di Kuala Lumpur?” soalnya.

Malah, katanya, tindakan NGO berkenaan menggunakan saluran BN untuk menyumbang minyak percuma kepada penduduk Wilayah Persekutuan yang menunggang motosikal menimbulkan pelbagai keraguan.

“Sebenarnya NGO ini patut mengagihkan petrol percuma di acara mereka sendiri. Kenapa perlu menggunakan saluran Barisan Nasional? Pastinya ada perkara yang tidak kena sedang berlaku,” katanya. – Roketkini.com