Berita

Kematian dalam lokap: ‘Kenapa suami saya dilayan macam haiwan?’

KLANG, 28 FEB: Kematian dalam tahanan individu bernama Thanaseelan Muniandy, 43, yang terjadi Sabtu lalu mungkin tidak akan berlaku jika polis dan doktor memberi perhatian segera ke atas tahanan itu.

Dalam kes ini, Thanaseelan ditemui tidak sedarkan diri di lokap polis Balai Bukit Sentosa, Hulu Selangor dan disahkan meninggal dunia di hospital Sungai Buloh.

Berdasarkan laporan patologi hospital itu, kematian berpunca dari keracunan darah akibat ulser gastrik.

Kesal dengan perkara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata kejadian ini jelas menunjukkan wujudnya kecuaian pihak tersebut menjalankan tugas mereka dengan baik.

“Sudah tentu kita dapat meneka bahawa Thanaseelan akan menunjukkan tanda-tanda kesakitan.

“Tapi, polis tidak segera membawanya ke hospital. Polis cuai terhadap tanggungjawab mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab terhadap si mati yang berada di bawah kawalan mereka,” katanya.

Memetik laporan media, peguamnya Eric Paulsen berkata, sebelum itu, Thanaseelan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baru kerana tidak boleh makan dan muntah-muntah namun beliau tidak dapat mengesahkan sama ada pihak hospital memberikannya pemeriksaan lengkap atau tidak.

“Apa yang berlaku di hospital KKB juga misteri. Segalanya penuh persoalan. Dia telah di bawa ke hospital beberapa jam sebelum disahkan meninggal dunia pada awal pagi 25 Februari itu.

“Persoalannya sekarang ialah, kenapa Thanaseelan tidak dimasukkan ke wad apabila beliau jelas dalam keadaan kritikal?

“Kenapa doctor menghantarnya kembali ke lokap setelah didakwa memberikan antacid untuk gastrik?” soalnya.

Sikap cuai pihak doktor itu kata Charles adalah keterlaluan dan mereka sepatutnya bersikap professional memberikan layanan ke atas siapa sahaja.

“Jalas sekali, kecuaian polis dan doktor telah enyumbang kepada kematian Thanaseelan,” ujarnya.

Semalam, Charles melawat ke Hospital Sungai Buloh untuk memberikan sokongan moral kepada keluarga si mati.

“Sampai sekarang apa yang diungkapkan isteri Thanaseelan terngiang-ngiang di telinga saya.

“Dia kata, polis layan orang macam burung, kucing dan lembu. Tapi bagi kami, mereka itu orang yang kami sayang dan hari ini, nyawanya telah diambil…,” kata Charles mengungkap luahan hati isteri Thanaseelan. -Roektkini.com