GELANG PATAH, 28 FEB: Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin digesa menyatakan inisiatif yang akan diambil pihaknya berhubung skandal rasuah hartanah di negeri itu sehingga membawa kepada penangkapan beberapa individu baru-baru ini.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, sikap tunggu dan lihat Khaled terhadap kes tersebut adalah tidak wajar kerana dia bertanggungjawab untuk memastikan negeri yang ditadbirnya berintegriti dan serius membasmi rasuah.
“Khaled sudah tentu diberitahu lebih awal oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes berkenaan dan mengenai penangkapan enam individu, melibatkan anak Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Johor.
“Sama ada tuduhan SPRM terhadap enam individu terbabit berjaya disabitkan di mahkamah adalah isu berasingan.
“Kerana apa yang kerajaan negeri mesti lakukan sekarang adalah memperketakan lagi peraturan dan prosedur bagi memastikan kegiatan rasuah seumpama itu tidak berlaku lagi,” ujarnya dalam kenyataan, semalam.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata demikian mengulas kenyataan Khaled seperti yang dilaporkan media Ahad lalu, mahu menunggu siasatan lengkap daripada SPRM sebelum membuat keputusan sama ada akan melakukan siasatan dalaman berhubung kes berkenaan.
Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, seluruh warga Johor malahan rakyat negara ini mengharapkan agar Khaled mengambil tindakan pro-aktif membanteras kegiatan rasuah yang berlaku di negeri itu.
“Dan sebab itulah dalam lawatan Khaled ke Gelang Patah esok (hari ini), dia harus mengumumkan inisiatif komprehensif anti-rasuah bagi memastikan kegiatan rasuah melibatkan urusan hartanah tidak berlaku lagi.
“Malah, apa yang lebih penting adalah untuk melihat dari kacamata yang lebih luas dengan azam untuk memastikan Johor menjadi negeri terbaik dalam hal melibatkan integriti malah bebas rasuah dalam perkhidmatan awam,” ujarnya. – Roketkini.com.