Berita

Hubungan orang kuat UMNO dengan syarikat Korea Utara mencurigakan

JOHOR BAHARU, 1 MAC: Pelbagai persoalan timbul berikutan pengakuan seorang pemimpin veteran UMNO berhubung penglibatannya dalam menubuhkan syarikat International Global System (M) Sdn Bhd (IGS) yang dikaitkan dengan Glocom, sebuah syarikat dari Korea Utara.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim mempersoalkan sama ada hubungan perniagaan itu ada kena mengena dengan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangi UMNO dan parti komunis Korea Utara, Parti Pekerja Korea Utara (WPK) pada November 2014.

Ia, katanya, turut membangkitkan persoalan jika hubungan peniagaan itu dilakukan demi menjaga kepentingan golongan elit dalam UMNO.

“Semua ini perlu diketahui kerana penjelasan Datuk Mustapha Ya’kub (Setiausaha Agung Veteran UMNO) bahawa ia hanya melibatkan soal perniagaan biasa tidak memadai kerana ia bukanlah perniagaan biasa seperti menjual kain, menternak lembu ataupun membuka kedai runcit.

“Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Glocom ini adalah sebuah syarikat yang terlibat secara langsung dalam perdagangan alatan dan senjata yang digunakan untuk perisikan dan peperangan.

“Apakah UMNO atau Mustapha Ya’kub tidak maklum akan perkara ini? Ini hal yang membangkitkan kecurigaan kita semua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahdzir turut berharap persoalan yang dibangkitkan beliau mengenai MoU itu sebelum ini dijawab pihak UMNO khususnya sayap pemuda parti itu yang baru-baru ini menunjukkan bantahan keras kepada Korea Utara.

Mustapha Ya’kub seperti yang dilaporkan Bernama semalam, mengakui menubuhkan IGS bersama dua orang rakan kongsi dari Korea Utara yang dikenali sebagai ‘Madam Ryang’ dan ‘Madam Pyon’ pada 2005 bagi memasarkan produk keluaran syarikat Glocom.

Kerjasama itu, katanya, dilakukan selepas mendapat syor dari kedutaan Korea Utara.

IGS yang melantik warga Korea Utara, Kim Chang-hyok sebagai pengurus perniagaan itu bagaimanapun ditutup atas nasihat polis dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selepas menyedari semua produk keluaran negara itu disekat PBB.

“Selepas itu, saya dan Kim menubuhkan sebuah lagi syarikat iaitu International Golden Services pada tahun 2012 tetapi tidak juga berhasil, lalu kami tutup syarikat tersebut,” kata Mustapha Ya’kub dipetik agensi berita nasional itu. – Roketkini.com