Berita

SPR disaran wujudkan sistem daftar pengundi secara automatik

GELANG PATAH, 1 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa melaksanakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik jika tetap berdegil tidak mahu melantik penolong pendaftar pemilih (PPP) daripada pihak pembangkang.

Ini kerana sejak lantikan PPP dari kalangan pembangkang dibekukan SPR, Adun Mengkibol, Tan Hong Pin berkata, pendaftaran pengundi mencatatkan pengurangan mendadak kecuali pada tahun di mana ada ura-ura pilihan raya umum semakin hampir.

“Rekod lama sebelum pembekuan pelantikan PPP daripada kalangan pembangkang telah membuktikan bahawa PPP daripada kalangan pembangkang lebih proaktif dan telah banyak membantu dalam usaha mendaftarkan pengundi baru,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media yang menyatakan bahawa terdapat lebih empat juta rakyat negara ini yang layak mengundi masih belum mendaftarkan diri sebagai pengundi.

“Jika laporan tersebut benar, maka kita memerlukan empat hingga 27 tahun untuk mendaftarkan kesemua warganegara yang layak mengundi di seluruh negara.

“Anggaran ini belum mengambil kira pertambahan warganegara Malaysia yang cukup umur 21 tahun setiap hari,” ujarnya Hong Pin yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Johor.

Katanya, mengikut Laporan Tahunan SPR 2015, terdapat 12,160 penolong pendaftar pemilih (PPP) dilantik di seluruh negara yang terdiri daripada 11,959 wakil jabatan, 30 wakil universiti, 48 wakil parti politik, dan 123 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, katanya, lantikan besar PPP itu dilihat tidak membantu meningkatkan jumlah pendaftaran pengundi memandangkan agensi yang dilantik SPR seperti Jabatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tidak memfokuskan kerja-kerja politik.

Justeru, katanya, SPR digesa supaya mempelbagaikan saluran pendaftaran pengundi termasuk melantik semula PPP dari kalangan pembangkang bagi mempercepatkan proses pendaftaran pengundi baru.

“Sekiranya SPR masih degil dengan cadangan melantik PPP daripada kalangan pembangkang SPR dicadangkan melaksanakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik supaya mereka yang layak dapat menunaikan hak dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara,” katanya. – Roketkini.com