Berita

Program ekonomi DAP Keningau lahir usahawan wanita, jana sumber pendapatan keluarga

KENINGAU, 2 MAC: Kesungguhan DAP Keningau membangunkan ekonomi masyarakat di sini dapat dilihat apabila berjaya menganjurkan Bengkel Ekonomi Rumahtangga yang sehingga kini telah dilaksanakan di 40 buah kampung.

Bengkel ini adalah program latihan komprehensif bidang pembuatan makanan seperti mi, mayonis, mentega kacang, cili minyak dan halia minyak.

Peter Saili, Pengerusi DAP Keningau

Ternyata, sejak dilaksanakan pada bulan Oktober 2016, program ini terus mendapat sokongan masyarakat setempat yang rata-ratanya dikalangan suri rumah dan peniaga kecil yang terkesan akibat pelaksanaan cukai GST.

Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili berkata, program memperkasa ekonomi keluarga ini merupakan salah satu khidmat sosial DAP yang telah membantu masyarakat sekitar khususnya golongan wanita.

“Bermula di dapur rumah sendiri, kini kita mampu jana pendapatan sampingan daripada hasil-hasil pertanian yang tidak terjual atau mengalami lambakan di pasaran tempatan seperti halia dan cili.

“Dengan pengetahuan berbentuk kemahiran yang diperolehi, kini kos perbelanjaan dapur dapat dikurangkan dan digunakan kearah tujuan lain,” katanya kepada Roketkini.

Jelas Peter, selain pendedahan terhadap kaedah memproses makanan, DAP Keningau juga memberikan maklumat dan khidmat nasihat niaga kepada mereka bagaimana untuk memulakan perniagaan dari sudut kos pembungkusan makanan, melabel produk dan pemasaran.

Sesi pembuatan mi

Apa yang membanggakan katanya, selain mempraktikkan kemahiran yang diperoleh, beberapa peserta bengkel mengorak langkah sebagai usahawan kecil dengan memasarkan produk seperti mi, mayonis dan minyak cili kepada pasaran setempat.

Antaranya ialah Puan Umie, seorang pengusaha kantin sekolah dari Apin-Apin yang kini menggunakan kemahiran yang diperolehnya dengan memproses mee buatan sendiri untuk jualan.

Puan Monica dari Kampung Liau Laut pula mengusahakan gerai makan di hadapan rumah dan mula menghasilkan mee buatan sendiri manakala beberapa peserta wanita dari Kampung Kitou, Tambunan sudah menghasilkan cili minyak untuk dijual.

Begitu juga dengan pengusaha-pengusaha kecil tanaman halia di Kambung Monsok, Tambunan, yang menghasilkan produk hiliran daripada halia iaitu halia minyak.

Peter berkata, program khidmat sosial seperti ini boleh diumpamakan sebagai mengajar masyarakat ‘bagaimana untuk menangkap ikan’.

“Bukannya dengan terus memberi ikan dan habis dengan sekali santap,” ujarnya. -Roketkini.com

*Kredit foto DAP Keningau