Berita

3 petanda aras tentukan kekuatan Pakatan Harapan, Bersatu hadapi PRU14

PETALING JAYA, 4 MAC: Seramai kira-kira 200 pemimpin DAP semua peringkat dari seluruh negara menghadiri Retreat Kepimpinan Kebangsaan 2017 yang bermula semalam dan akan berakhir esok.

Perjumpaan tertutup ini memberi tumpuan kepada persediaan parti berhadapan pilihan raya umum akan datang.

Dalam ucapan perasmiannya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyenaraikan tiga petanda aras yang boleh menentukan kekuatan Pakatan Harapan dan Bersatu menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ia katanya merupakan petunjuk terhadap kemampuan pembangkang untuk memberikan saingan sengit kepada UMNO-BN.

“Adakah kita memiliki pemimpin yang berkualiti untuk memimpin Malaysia keluar dari krisis ekonomi dan membawa negara ke tahap yang lebih tinggi?

“Adakah pemimpin UMO-BN dan ahli-ahlinya berkempen secara agresif di peringkat akar umbi sebagaimana mereka lakukan dalam pilihanraya lalu?

“Apakah respon rakyat terhadap UMNO dan BN?” soalnya dihadapan kira-kira 200 pimpinan DAP seluruh negara.

Menurut Guan Eng, apa yang berlaku saat ini kepada UMNO berbeza dengan persediaan mereka berhadapan pilihan raya umum lalu.

“Apa yang saya lihat, jentera UMNO tak bergerak. Saya tahu sekarang ini mereka terdesak. Malah di negeri yang mereka aktif, tahap intensiti kempen mereka amat rendah,” tambah beliau.

Ahli Parlimen Bagan itu menyatakan keyakinannya bahawa Malaysia akan dilanda tsunami politik dan ini katanya akan melibatkan tuntutasn untuk perubahan di Sabah dan Sarawak.

“Sudah sampai masanya rakyat bertindak terhadap segala janji-janji palsu BN yang telah merosakkan negara kita,” katanya.

Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai menegaskan, untuk mencapai matlamat membentuk kerajaan baru, DAP perlu bekerjasama dengan parti-parti politik yang berkongsi aspirasi perjuangan yang sama.

“Ini tidak bermakna kita perlu mengorbankan prinsip. Kita tetap sebuah parti Malaysian Malaysia. Kita masih sebuah parti sosial demokrasi.

“Kita sedang bekerjasama dengan parti-parti lain untuk membentuk sebuah kerajaan yang bersih yang berpegang kepada keadilan dan kesaksamaan,” tegasnya.

Ahli Parlimen Cheras itu mengulangi pendirian parti mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan menentang segala ancaman terhadap keluruhan perlembagaan sewaktu mengulas usul persendirian untuk meminda akta Mahkamah Syariah 1965.

Menurut Kok Wai, isu berkenaan bukanlah sebuah isu peribadi atau aga,a tetapi merupakan isu yang melibatkan undang-undang terhadap seluruh rakyat negara ini.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong pula berkata, DAP dan parti-parti pembangkang negara ini berdepan dengan cabaran dan rintangan yang besar.

Ini kerana UMNO-BN sedang mengeksploitasi ‘kasalahan-kesalahan sosial’ sedia ada seperti memainkan sentimen kaum dan agama untuk memecah belahkan perpaduan negara ini. -Roketkini.com