Berita

“Usah janji lebuhraya berkelas dunia, jalan yang ada pun tak setanding Semenanjung”

KOTA KINABALU, 5 MAC: Kerajaan UMNO Barisan Nasional tidak perlu membuat janji setinggi langit apabila menjamin kononnya jaringan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah akan setanding dengan lebuhraya negara maju.

Sedangkan, apa yang dapat dilihat hari ini jalan raya di negeri itu masih jauh ketinggalan berbanding di Semenanjung, kata Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin.

“Jika Perdana Menteri dapat beri jaminan Lebuhraya Pan Borneo itu seperti lebuh raya di Semenanjung pun sudah cukup.

“Tak perlulah beri janji kosong kepada rakyat Sabah kononnya ia berkelas dunia dan setanding negara maju,” ujarnya.

Menurut Foong Hin, berat dalam muatan (BDM) maksimum yang dibenarkan di jalan raya Sabah sangat berbeza berbanding Semenanjung, iaitu hanya 38,000 kilogram berbanding 53,000 kilogram.

“Perbezaan BDM ini menunjukkan kapasiti bawaan jambatan dan jalan raya di sini lebih rendah, disebabkan kualiti yang tak baik,” katanya.

Kualiti rendah ini, tambah Adun Sri Tanjung itu, mengakibatkan rakyat Sabah, terutama dalam bidang perniagaan terpaksa berdepan masalah seperti kos unit dan kos operasi lebih tinggi di samping muatan yang kurang.

“Ia memang tugas Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Sabah.

“Tolong jangan gunakan Lebuhraya Pan Borneo untuk memancing undi di negeri ini. Rakyat Sabah sememangnya berhak mendapatkan lebuhraya dan jalanraya berkualiti setanding dengan Semenanjung,” tegasnya. – Roketkini.com