Berita

BR1M: Rakyat beratur lama untuk terima duit sendiri, BN sengaja cari publisiti murahan

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Negara kecoh baru-baru ini apabila rakyat Perlis dilapor terpaksa menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara manual, sedangkan lebih mudah jika wang itu disalurkan terus ke akaun penerima.

Terbaru, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mendedahkan bahawa situasi sama berlaku di negeri itu apabila rakyat diminta mengambil baucer bantuan BR1M secara manual di beberapa kawasan Parlimen.

Dalam posting twitternya, Ahli Parlimen Taiping itu mempersoal kaedah pengedaran tersebut yang dianggap menyusahkan rakyat kerana terpaksa beratur panjang bagi menerima bantuan.

“BR1M adalah duit rakyat tetapi BN sengaja minta rakyat berhimpun dan beratur lama, hanya untuk cari publisiti murahan. Mengapa tak boleh
(terus) masuk ke akaun?” soalnya.

Perkara sama turut dilontarkan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di laman twitter yang menyatakan BN Perak telah menyukarkan proses penerimaan BR1M hanya semata-mata demi kepentingan politik.

“Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir susahkan rakyat demi kepentingan politik. SUK Perak minta jangan masuk akaun penerima, mesti berkumpul dapat BR1M dari BN,” ujarnya. – Roketkini.com