Berita

DAP gesa SPR laksana pendaftaran pengundi automatik sejak 1971 lagi

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Isu empat juta pengundi tidak berdaftar tidak akan berlaku jika kerajaan melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik.

Lebih menghairankan, sistem pendaftaran pengundi negara ini tidak berubah sejak 1957 walaupun bidang teknologi maklumat (IT) semakin berkembang maju kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Proses mendaftarkan pengundi yang mengambil masa sehingga enam bulan ini katanya menonjolkan ketidakcekapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Isu ini telah saya bangkitkan sejak tahun 1971, 46 tahun lalu apabila pertama kali menjadi Ahli Parlimen.

“Saya tak faham mengapa keupayaan IT kita sungguh ketinggalan sampai memerlukan enam bulan untuk memproses pendaftaran.

“Jika SPR tidak mahu buat pendaftaran automatik sekalipun, kenapa mereka tidak buat untuk seminggu atau sebulan, bukannya sehingga enam bulan?” soalnya.

Beliau berharap supaya Pengerusi SPR dapat memberikan penjelasan yang memuaskan hati mengenai isu pendaftaran pengundi yang mengejutkan ini. -Roketkini.com